JAGUH renang negara, Khiew Hoe Yean melihat kejayaan cemerlang di Sukan SEA 2025 sebagai titik penting untuk melangkah lebih jauh pada musim depan apabila sasaran kini terarah kepada cabaran lebih besar di pentas Asia dan Komanwel.
Atlet berusia 23 tahun itu mengakui kejayaannya di Bangkok bukan sekadar soal pingat, sebaliknya menjadi bukti kemampuannya mengendalikan tekanan dan bersaing secara konsisten, sekali gus memberi keyakinan baharu menjelang kejohanan utama tahun hadapan.
“Tahun ini membuktikan saya sebenarnya mampu lakukan sesuatu dan untuk tahun depan, sasaran saya adalah untuk kekalkan momentum ini dan melakukan lebih baik di Sukan Asia serta Sukan Komanwel,” katanya.
Pada temasya di Bangkok, Hoe Yean mengesahkan statusnya sebagai atlet lelaki terbaik selepas meraih dua pingat emas menerusi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki dan 400m gaya bebas lelaki, selain menambah satu perak dalam 4x200m gaya bebas lelaki serta satu gangsa dalam 4x100m gaya bebas lelaki.
Bagi Hoe Yean, pencapaian dua emas dalam satu edisi Sukan SEA adalah detik penting dalam kariernya kerana ia merupakan kali pertama beliau melakukannya di pentas serantau.
“Saya rasa keputusan ini agak baik kerana ini kali pertama saya memenangi dua pingat emas di Sukan SEA,” katanya.
Dia turut mengakui cabaran utama di temasya dwitahunan itu bukan sekadar menewaskan lawan, tetapi mengurus tekanan tinggi sebagai atlet pilihan.
“Di kejohanan seperti ini, kita memang dijangka untuk menang, tetapi pada masa sama tekanan itu boleh menjejaskan prestasi, jadi saya rasa saya telah melakukan tugas dengan cukup baik.
“Mendapat dua emas, satu perak dan satu gangsa ini adalah kali pertama buat saya dan saya sangat bersyukur dengan keputusan yang diperoleh,” jelasnya.














