KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya berhubung Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Perkara itu dinyatakan, peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas prosiding kes hari ini.
“Sudah tentu beliau (Najib) sangat kecewa,” kata peguam itu.
Berikutan keputusan itu, pihak pembelaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
“Kami terkejut dan kecewa dengan keputusan hari ini dan akan membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan,” ujarnya.

Terdahulu Najib kekal menjalani baki hukuman pemenjaraannya di Penjara Kajang.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak semakan Najib, 72, berhubung Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki pemenjaraan di rumah.
Dalam penghakimannya, mahkamah berpendapat meskipun titah berkenaan wujud, ia tidak dikeluarkan berdasarkan proses perlembagaan yang betul menjadikan ia tidak boleh dikuatkan melalui perintah mandamus. – KOSMO! ONLINE














