fbpx
KAPTEN EMMA telah bertugas di PTP sejak empat tahun lalu dan pernah membawa kapal kapal sebesar ketinggian Menara KLCC.

Kapten Emma pandu 700 kapal setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Di sebalik ke­sibukan pelabuhan yang menjadi nadi perdagangan negara, terselit satu kerjaya berisiko tinggi yang jarang diketahui umum, iaitu malim pelabuhan.

Lebih mengagumkan, tugas besar itu kini digalas oleh seorang wanita, Kapten Emanuel Janta Mujah, 30, yang merupakan malim pelabuhan wanita kedua di Malaysia.

Bagi Kapten Emanuel Janta atau mesra dipanggil Kapten Emma, malim pelabuhan bukan sekadar penunjuk arah, sebalik­nya penentu sama ada kapal boleh masuk atau keluar pelabuhan dengan selamat di laluan sempit dan sibuk.

Beliau yang bertugas di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Johor memaklumkan tugas malim pelabuhan semakin mencabar apabila saiz kapal dunia kian membesar, muatan bertambah berat dan jadual pelayaran semakin padat.

“Kesilapan kecil boleh memberi kesan besar kepada pelabuhan dan rantaian ekonomi. Sebab itu setiap keputusan perlu tepat, pantas dan berasaskan pengalaman.

“Jadi, kita akan bekerja dengan ramai pihak seperti nakhoda kapal, bot tunda, kawalan trafik untuk sesebuah kapal berlabuh dengan selamat,” katanya kepada Kosmo!.

Bercerita lanjut, katanya, tekanan itu memuncak dalam satu insiden yang masih segar dalam ingatannya apabila sebuah kapal dari Eropah tiba-tiba mengalami ‘blackout’ ketika sedang bergerak menuju pelabuhan.

“Kapal itu hilang kawalan sepenuhnya. Ia seperti memandu kereta laju dan enjin mati. Namun, kapal bukan seper­ti kereta boleh berhenti terus sebaliknya kelajuan masih sama.

“Saya mengarahkan nakhoda menurunkan jangkar, memanggil bot tunda dan menyelaras kawalan trafik laut sehingga kapal berjaya berlabuh dalam tempoh satu jam. Ia satu detik yang sangat getir,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Cabaran tidak berhenti di situ apabila beliau pernah membawa masuk kapal sepanjang 400 meter semasa berlakunya ribut tropika Senyar dan ketika menuju ke pelabuhan, kelajuan angin meningkat melebihi tahap selamat sehingga menyebabkan operasi hampir dibatalkan.

“Namun, dengan kelebihan semula jadi PTP serta bantuan tambahan bot tunda, kapal berjaya dibawa masuk dengan selamat walaupun kapten kapal pada awalnya bimbang dan mahu berpatah balik.

“Tugas kita di PTP bermula pada jarak tujuh batu nautika dengan prosedur operasi standard (SOP) kelajuan angin tidak boleh lebih 20 knot. Setiap pelabuhan di seluruh dunia mempunyai jarak berlainan,” katanya.

Sebagai wanita dalam dunia maritim, Kapten Emma turut berdepan cabaran kepercayaan apabila ada nahkoda kapal asing yang sangsi dengan kemampuannya sehingga meminta melihat lesen sebelum membenarkan beliau mengambil alih tugas.

“Apabila mereka melihat hasil kerja, persepsi itu berubah. Profesionalisme akhirnya bercakap bagi pihak kita,” katanya yang berbangsa Iban.

Kapten Emma yang berasal dari Miri, Sarawak mengendalikan tujuh kapal sehari.

Kapten Emma yang berasal dari Miri, Sarawak itu memberitahu, minat terhadap kerjaya itu bermula selepas melihat iklan Akademi Laut Malaysia (ALM) serta menyertai Karnival Kerjaya Jabatan Laut Malaysia (JLM) pada 2011.

“Saya tertarik kerana ia kerjaya yang ‘rare’. Sebelum ini pilihan kerjaya selalunya doktor atau jurutera. Saya pula memang minat dunia maritim, membesar di kawasan tepi laut dan setiap hari melihat kapal.

“Bagi bergelar malim pelabuhan, perlu memperoleh lesen Pegawai Laut sebelum belayar sekurang-kurangnya setahun, seterusnya melalui beberapa proses termasuk perlu memiliki lima jenis lesen iaitu Lesen C, Lesen B, A2, A1 dan Lesen A.

“Proses mendapatkan kelima-lima lesen berkenaan mengambil masa lima tahun, namun saya lulus semua lesen itu dalam tempoh tiga tahun saja,” jelas yang telah bertugas di PTP sejak empat tahun lalu.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah membawa kapal sebesar ketinggian Menara KLCC, dengan purata 700 kapal setahun, dan dalam sehari boleh mengendalikan sehingga tujuh kapal.

Kata Kapten Emma, setakat ini dianggarkan terdapat sembilan malim pelabuhan di seluruh negara dan beliau percaya peranan itu akan terus relevan meskipun kemunculan teknologi automasi serta kecerdasan buatan (AI).
Mengulas lanjut, beliau berkata, gaji bagi bidang ini adalah antara RM18,000 hingga RM20,000 dengan wanita lain yang ingin menceburi kerjaya ini perlu mempunyai minat yang kuat dan disiplin tinggi.

“Dunia maritim menawarkan skop kerjaya yang luas termasuk di pelabuhan. Tugas malim pelabuhan sangat dipengaruhi faktor alam semula jadi dengan kita perlu
mengamalkan sikap rendah diri dan kerjasama semua pihak, bak peribahasa resmi padi, makin berisi makin tunduk, ” katanya.

Kapten Emma turut berdepan cabaran kepercayaan apabila ada nakhoda kapal asing yang sangsi dengan kemampuannya sehingga meminta melihat lesen sebelum membenarkan beliau mengambil alih tugas.

Beliau yang berasal dari Miri, Sarawak itu memberitahu, minat terhadap kerjaya itu bermula selepas melihat iklan Akademi Laut Malaysia (ALM) serta menyertai Karnival Kerjaya Jabatan Laut Malaysia (JLM) pada 2011.

“Saya tertarik kerana ia kerjaya yang ‘rare’. Sebelum ini pilihan kerjaya selalunya doktor atau jurutera. Saya pula memang minat dunia maritim, membesar di kawasan tepi laut dan setiap hari melihat kapal.

“Bagi bergelar malim pelabuhan, seseorang itu perlu memperoleh lesen Pegawai Laut sebelum belayar sekurang-kurangnya setahun, seterusnya melalui beberapa proses termasuk memiliki lima lesen. Pro­ses mendapatkan kelima-lima lesen itu mengambil masa lima tahun, namun saya lulus dalam tempoh tiga tahun,” jelas yang telah bertugas di PTP sejak empat tahun.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah membawa kapal sebesar ketinggian Menara KLCC, dengan purata 700 kapal setahun, dan dalam sehari boleh mengendalikan sehingga tujuh kapal.

Beliau berkata, gaji bagi bidang ini adalah antara RM18,000 hingga RM20,000 dengan wanita lain yang ingin menceburi kerjaya ini perlu mempunyai minat yang kuat dan disiplin tinggi.

“Dunia maritim menawarkan skop kerjaya yang luas terma­suk di pelabuhan. Tugas malim pelabuhan sangat dipengaruhi faktor alam semula jadi dengan kita perlu mengamalkan sikap rendah diri dan kerjasama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN