PETALING JAYA – Sikap prihatin seorang lelaki Cina yang sanggup hadir ke sekolah bagi menandatangani laporan prestasi anak jirannya yang berbangsa India mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @nadeyamiza, lelaki tersebut bukan sahaja hadir untuk menandatangani laporan prestasi pelajar berkenaan, malah turut menawarkan diri untuk membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
“Bila cikgu tanya yuran PIBG, pak cik ni cakap ‘tak apa saya bayarkan’. Cikgu pun pesan supaya beritahu ibu bapa. Selamba pak cik tu kata ‘tidak ada hal lah, kita kena tolong menolong’,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya turut berkongsi pengalaman sendiri dan turut terharu dengan sikap perpaduan yang ditonjolkan.
“Keluarga saya pun disayangi jiran kami. Dia seorang ustaz yang dah berumur 80-an. Dia perkenalkan banyak masakan melayu dan daging sebab waktu tu Cina kurang makan daging. Setiap kali kenduri pun mesti akan dijemput,” komen Mengyan.
“Dia sanggup menyokong sampai tahap begitu. Nampak yang dia memang mementingkan pendidikan,” kata Yus Yusof.
“Terbaik pak cik, patut ada ramai lagi insan yang berkasih sayang macam ni,” komen Hanis B. – KOSMO! ONLINE














