WASHINGTON – Presiden Donald Trump memperluaskan dasar larangan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) dengan menghalang kemasukan rakyat dari tujuh lagi negara, termasuk Syria dan pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Menurut kenyataan White House, Trump yang sejak sekian lama berkempen untuk mengetatkan dasar imigresen, bertindak melarang warga asing yang berniat mengancam rakyat Amerika.
Beliau juga mahu menghalang warga asing di AS yang boleh melemahkan atau menggugat budaya, pentadbiran, institusi atau prinsip asas negara itu, demikian menurut kenyataan tersebut.
Pentadbiran Trump sebelum ini secara tidak rasmi menghalang perjalanan pemegang pasport PA sebagai tanda solidariti dengan Israel, susulan tindakan beberapa negara Barat utama termasuk Perancis dan Britain mengiktiraf negara Palestin.
Negara-negara lain yang turut dikenakan larangan perjalanan penuh ke AS adalah Burkina Faso, Mali, Niger, Sierra Leone, Sudan Selatan dan Laos.
Dalam beberapa tindakan baharu, White House menyatakan, Trump turut mengenakan sekatan perjalanan separa ke atas warganegara beberapa negara Afrika lain termasuk Nigeria.
Ia turut melakukan tindakan sama terhadap beberapa negara Caribbean yang majoriti penduduknya berkulit hitam.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump menggunakan bahasa yang semakin keras ketika mengecam pendatang dari Afrika.
Beliau juga baru-baru ini menyifatkan warga Somalia sebagai ‘sampah’ susulan satu skandal di mana warga Amerika keturunan Somalia didakwa menipu kerajaan dengan kontrak palsu di Minnesota.
Negara-negara lain yang masih dikenakan larangan perjalanan penuh adalah Somalia, Afghanistan, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Myanmar, Sudan dan Yemen. – AFP














