SEMENYIH – Pendekatan Kerjasama Awam-Tentera (Cimic) adalah penting dalam memastikan hubungan erat terjalin antara pasukan tentera dan anggota masyarakat dalam mendepani cabaran masa depan.
Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal berkata, pendekatan Cimic telah dilaksanakan semasa era komunis menerusi konsep keselamatan dan pembangunan.
Menurut beliau, Cimic ketika itu diperkenalkan untuk mendekati dan melindungi masyarakat serta melumpuhkan anasir komunis yang cuba mendapatkan bantuan atau menggangu orang kampung.
“Cimic sebagai program keselamatan dan pembangunan untuk mendekati masyarakat dan menghindari anasir komunis. Selepas ancaman komunis tamat, kita teruskan (Cimic)
“Ini usaha yang baik untuk tentera mendekati masyarakat supaya hubungan tentera dan awam erat,” katanya pada Majlis Perasmian Program Kejuruteraan Tindakan Sivik (Encap) peringkat 4 Divisyen di Kampung Pasir Baru di sini hari ini.
Khairul Azmizal berkata, Encap pula salah satu program di bawah Cimic iaitu pihak tentera menggunakan kepakaran kejuruteraan dimiliki untuk turun padang membantu masyarakat.
Kata beliau, antara program Encap dilaksanakan tahun ini membabitkan baik pulih dan penyelenggaraan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Baru dengan peruntukan RM100,000.
“Kita guna kepakaran yang ada pada Tentera Darat iaitu kepakaran kejuruteraan. Pasukan Skuadron Ke-Dua Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) diberi tanggungjawab melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Sel Perhubungan Raya, Markas 4 Divisyen dalam satu kenyataan media berkata, seorang pegawai dan 14 anggota terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Baru.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja baik pulih tersebut bermula 14 Julai lalu dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 6 Oktober 2025.
“Projek ini sebahagian daripada latihan kecil bertujuan membina komuniti yang lebih kukuh dan mengeratkan hubungan tentera dan awam,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














