fbpx
Video yang menunjukkan sebuah robot humanoid beraksi pertarungan mencetus kekeliruan kalangan netizen sehingga CEO syarikat pengeluar robot tersebut turun padang untuk membuktikan sendiri keaslian dan kehebatan robot dinamakan T800 itu.

Nafi AI, CGI, aksi robot humanoid bertarung cetus sensasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI antara negara pelopor pembangunan robot humanoid, China sekali lagi memberikan kejutan kepada pemerhati industri teknologi global menerusi perkongsian video demonstrasi melibatkan robot mirip manusia.

Video pergerakan robot humanoid yang dibangunkan oleh syarikat Zhongging Technology itu boleh dikatakan persis manusia terutama melibatkan gerakan ayunan tangan dan tendangan kaki.

Menerusi rakaman video dalam laman YouTube EngineAI itu, robot tersebut bergerak seperti seorang ahli seni mempertahankan diri profesional yang lengkap dengan langkah defensif seperti seorang manusia.

Pada awalnya, khalayak mempertikaikan tentang keaslian video yang dikatakan disunting menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Zhongqing Technology, Zhao Tongyang mengambil pendekatan turun padang untuk membuktikan sendiri kehebatan robot bernama T800 itu.

Ujian keselamatan yang dibuat di Pusat Sukan Shenzhen Bay itu memperlihatkan robot dengan ketinggian 1.73 meter dan berat 75 kilogram ‘membelasah’ Tongyang hingga membuatkan dia jatuh terduduk.

Biarpun sudah dilengkapi peralatan perlindungan pada bahagian badan, namun Tongyang mengakui tetap berasa sakit selepas ditendang oleh robot humanoid T800 itu.

“Jangan risau, saya dalam keadaan baik tetapi ini sungguh kejam dan ganas. Sekiranya saya tidak mengenakan pelindung ini, pasti sudah ada tulang yang patah atau mengalami kecederaan lebih teruk.

“Namun saya berasa sakit badan sedikit kerana tekanan daripada tendangan itu memang kuat. Jika ada siri latihan kedua, mungkin nyawa saya akan melayang nanti,” katanya sambil berseloroh dalam video demonstrasi tersebut.

Dalam klip video tersebut, robot T800 bukan sahaja mengekalkan postur stabil, malah dapat melaksanakan perubahan momentum dengan pantas, seolah-olah sudah lama dilatih dalam seni mempertahankan diri.

Pihak syarikat mendakwa, kemampuan itu dicapai melalui gabungan algoritma kawalan berasaskan AI, penderia ketepatan tinggi dan aktuator tork (daya putaran) rendah yang memberi kebebasan gerakan lebih lancar.

Menampilkan tork sendi maksimum sehingga 450 Nm, ia membolehkan robot itu melakukan pergerakan dinamik seperti tendangan terbang dan pusingan gaya capoeira.

Malah, robot berkenaan boleh berjalan pada kelajuan maksimum 6.7 meter perjam.

Memetik VNExpress, T800 menggunakan bateri solid-state gred penerbangan yang menyediakan masa operasi empat hingga lima jam.

Ia merupakan teknologi yang diambil daripada industri kenderaan elektrik untuk keselamatan dan ketumpatan tenaga lebih baik.

Menariknya, robot berkenaan turut dilengkapi penderia penglihatan stereo, LiDAR 360 darjah dan pemprosesan persekitaran tahap milisaat untuk mengelak halangan.

VIDEO tular di China yang memaparkan Tongyang berlawan dengan robot T800.

Robot T800 turut dibangunkan dengan versi Pro dan Max yang dikuasakan oleh cip Nvidia Jetson Thor serta Intel N97 bagi membolehkan pemproses AI dibuat secara cekap.

Melihat kepada kemampuan T800, barisan pakar dan pemerhati teknologi melihat robot itu mampu melakukan tugas berat, khususnya industri perkhidmatan komersial dan membantu dalam aspek keselamatan masyarakat serta bidang ketenteraan.

Menurut salah seorang pakar, Yang Shaohua, robot humanoid menunjukkan potensi besar untuk diaplikasi dalam operasi ketenteraan dan keselamatan masyarakat.

Ujarnya, robot berbentuk manusia mempunyai kelebihan kerana boleh menggunakan peralatan, kenderaan dan infrastruktur yang direka untuk askar manusia.

“Kemampuan manusia dan robot ini berbeza. Manusia mempunyai had tenaga tertentu ketika berperang, membawa senjata atau pertarungan secara fizikal.

“Mungkin dengan sedikit penambahbaikkan, olahan dan perubahan serta operasi taktikal, robot humanoid boleh digunakan secara komersial termasuk sebagai tentera.

“Jika kita lihat, ada beberapa negara sudah mengetengahkan konsep robotik dalam sistem keselamatan yang menjalankan tugas seperti polis,” katanya dalam ChinaTech.

Biarpun boleh digunakan sebagai robot tentera, namun Zhongging Technology tetap menegaskan pembangunan T800 bertujuan sebagai teman keluarga, kegunaan industri dan perkhidmatan komersial.

“Matlamat kami adalah untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan menyediakan solusi efektif yang boleh memberi manfaat dalam kehidupan harian manusia, bukannya untuk diaplikasi di medan perang.

“Demonstrasi tempur seperti robot tinju hanyalah ujian tekanan dan keseimbangan yang diperlukan untuk memastikan robot benar-benar tahan lasak apabila digunakan di industri komersial dan dunia sebenar nanti,” katanya

Untuk makluman, robot T800 memberikan impak kos lebih efektif apabila hanya memerlukan kira-kira satu pertiga daripada kos buruh manusia, sekali gus menjadi penyelesaian komersial yang berdaya saing.

Disebabkan itu, Tongyang optimis bahawa T800 dapat memberi sudut pandang baharu kepada industri komersial dan buruh di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN