BANGKOK – Di sebalik persembahan memukau menghadiahkan dua kilaun pingat emas, tiada siapa menduga ratu wusyu negara, Tan Cheong Min sebenarnya beraksi di Sukan SEA 2025 dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan otot yang serius.
Kekal bersemangat memastikan bendera Malaysia di atas podium selain lagu Negaraku dimainkan di bumi Thailand mengatasi segala perit kesakitan sewaktu beraksi acara nandao individu wanita dan berpasukan duilian bersenjata.
Juara dunia dari Melaka itu mendedahkan, dia terpaksa bergantung ubat tahan sakit sepanjang saingan selepas disahkan mengalami kecederaan koyak otot gred 2B sebelum tiba di Bangkok.
“Memang sakit sehingga hari ini. Seperti acara semalam, habis beraksi dan keluar dari gelanggang, riak muka saya terus berubah kerana rasa kesakitan walaupun semasa saya membuat persembahan.
“Saya terpaksa tahan dan hanya makan ubat tahan sakit. Saya tak fikir apa dan mahu lakukan terbaik bagi memastikan emas milik Malaysia. Bukan mudah dalam acara berpasukan yang kami tidak letak sasaran mencapai kemenangan hari ini.
“Syukur dengan bantuan rakan-rakan, kami berjaya mengatasi cabaran untuk meraih pingat emas. Setiap kali menang pingat, saya akan fikir segala usaha yang curahkan berbaloi.
“Emas ini dapat meningkatkan motivasi dan menjadi kunci untuk saya terus maju ke hadapan kerana tahu saya masih ada potensi bantu kontinjen Malaysia,” katanya
Ini adalah penampilan Sukan SEA kedua Cheong Min dengan kejayaan berganda itu melengkapkan koleksi empat emas peribadi selepas turut meraih dua pada edisi sulungnya di Kemboja 2023.
Kejayaan itu juga melengkapkan tahun 2025 yang amat cemerlang buat Cheong Min, di mana secara keseluruhannya mengumpul lapan emas daripada semua kejohanan antarabangsa bermula Januari.
Fokus Cheong Min kini beralih kepada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun tahun, namun perlu melepasi pusingan pemilihan terlebih dahulu.














