BEIJING – Seorang bilionair dari China yang mempunyai lebih 100 anak di Amerika Syarikat (AS) melalui kaedah ibu tumpang berharap keturunannya dapat berkahwin dengan anak-anak manusia terkaya, Elon Musk bagi mewujudkan dinasti keluarga yang luas, lapor akhbar New York Post.
Xu Bo, 48, merupakan pengasas syarikat permainan dalam talian Duoyi. Beliau bertekad untuk mendapatkan sekurang-kurangnya ‘50 anak lelaki berkualiti tinggi’, demikian menurut catatan media sosial yang disahkan miliknya.
Kisah luar biasa Bo tersebar di media sosial China selepas bekas teman wanitanya mendedahkan bahawa lelaki itu telah menjadi bapa kepada lebih 300 anak, 11 daripadanya didakwa dibesarkan oleh wanita tersebut selama bertahun-tahun.
“Jumlah itu mungkin lebih rendah daripada angka sebenar tetapi ia pastinya tidak diperbesar-besarkan,” kata bekas kekasih Xu, Tang Jing.
Pasangan itu kini terlibat dalam kes perebutan hak penjagaan untuk dua anak perempuan mereka, dengan Xu mendakwa bahawa bekas teman wanitanya berhutang berjuta-juta dolar kepadanya dalam perbelanjaan yang dibiayainya selama ini.
Usaha Xu untuk membina dinasti keluarga dikatakan diinspirasikan oleh Musk. Bilionair Tesla itu dikhabarkan menawarkan sperma miliknya kepada rakan dan keluarga dalam usaha membina susur galur keturunannya.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh Musk sendiri.
Menerusi akaun media sosial Weibo, Xu mendedahkan impiannya yang berharap agar anak-anaknya suatu hari nanti dapat berkahwin dengan anak-anak Musk. – AGENSI














