PETALING JAYA – Ramai lelaki mendambakan pasangan yang cantik, flawless (kulit licin) dan glowing (bersinar), namun terkejut apabila mengetahui kos penjagaan kulit sebenar boleh mencecah RM500 sebulan.
Menurut pakar dermatologi dan ekzema, Dr. Md Azhari Md Zhahir, ramai lelaki tidak memahami bahawa kulit cantik bukanlah lahir secara semula jadi, tetapi hasil usaha dan penjagaan berterusan.
“Fakta yang lelaki kena tahu, perempuan bukan lahir ‘flawless’. Dia diusahakan ‘flawless’. Perempuan mandi bukan cuci muka je, tidur bukan baring je, keluar rumah bukan sapu bedak je,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dr. Md Azhari menjelaskan, rutin penjagaan kulit kaum wanita biasanya melibatkan enam hingga lapan langkah penting termasuk pembersih muka, toner, serum, pelembab muka, sunscreen (krim pelindung matahari), rawatan kulit, masker muka dan retinol.
“Berbeza dengan lelaki yang kadang-kadang menggunakan cleanser (pencuci muka) seminggu sekali, bagi perempuan, RM500 sebulan dianggap sebagai ‘standard maintenance’,” katanya.
Beliau memberikan contoh pengalaman lelaki yang mencuba produk penjagaan kulit wanita dan terkejut apabila mendapati kulit mereka menjadi lebih lembut, wangi dan segar.
“Baru lelaki sedar, RM500 tu bukan harga ‘skincare’ (produk penjagaan kulit). Itu harga keyakinan perempuan yang dia sayang. Perempuan tak minta banyak, dia tak minta beg tangan RM20,000, tak minta emas 10 ketul, dia cuma nak jaga diri supaya boleh rasa cantik bila tengok cermin.
“Kalau kau nak perempuan ‘glowing’, janganlah bajet skincare RM20. Sokonglah dia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














