PONTIAN – Salah seorang mangsa kejadian runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup, di sini semalam baru sebulan bekerja.
Menurut abang Allahyarham Muhammad Alfarid Ahmad, 19, Muhamad Faris, arwah sebelum ini bekerja di Pasir Gudang, Johor sebelum berpindah ke Stesen Janakuasa Arang Batu Malakoff di Pontian.
Katanya, kali terakhir dia berbual dengan adiknya di rumah sewa arwah di Gelang Patah, semalam.
Tambah Muhamad Faris, arwah adiknya merupakan anak bongsu daripada enam beradik bekerja bersama dengan lima rakannya yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di loji jana kuasa tersebut.
“Saya hanya tahu mengenai kejadian setelah menerima panggilan daripada seorang lagi adik saya di Tanah Merah, Kelantan,” katanya yang bertugas sebagai guru di Ulu Tiram, Johor Bahru.
Tambah Muhamad Faris, dia menyifatkan arwah adiknya merupakan seorang yang baik dan pemergian dalam kejadian tersebut merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya.- KOSMO! ONLINE














