ALOR SETAR – Jenazah wanita yang menjadi mangsa pembunuhan kejam suaminya di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang selamat dikebumikan pada pukul 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Lufti, Kampung Suka Menanti di sini hari ini.
Van membawa jenazah Wan Khairul Safinah Ishak, 44, tiba di masjid berkenaan pada pukul 1.30 tengah hari setelah dituntut oleh keluarga dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang lebih sejam sebelum itu.
Kira-kira 100 keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung hadir untuk membantu urusan pengebumian itu yang disembahyangkan usai solat asar.
Anak sulung mangsa, Ezlyn Ilyana Hardiha Shayrin Yezral, 26, berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana proses membawa pulang jenazah untuk pengebumian di kampung halaman mereka itu berjalan lancar.
“Proses bedah siasat dijalankan pada pukul 9 pagi tadi sebelum kami menuntutnya untuk dikebumikan di sini atas permintaan datuk kami, Ishak Man, 76,” katanya.
Akhbar ini semalam menyiarkan suami mangsa yang juga penganggur ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik tidur selama empat hari sebelum tampil menyerah diri di balai polis berhampiran, pagi semalam. – KOSMO! ONLINE














