fbpx
Noraihan menunjukkan gambar arwah Fahmey bersama keluarganya ketika ditemui di Kampung Padang Kala, Peringat dekat Kota Bharu hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

Anggota ATM maut tak sempat terima hadiah cabutan bertuah Honda EX5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Hajat seorang anggota tentera berpangkat Sarjan untuk menerima hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal yang dimenanginya menerusi peraduan anjuran Syarikat Raja Perfume tidak kesampaian apabila lelaki itu meninggal dunia dalam nahas di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, Machang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 petang itu, mangsa, Fahmey Darus, 39, yang bertugas di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas trak tiga tan jenis Hicom Handalan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung sebuah kereta.

Kakak sulong mangsa, Noraihan, 57, berkata, arwah memenangi cabutan bertuah itu pada minggu lalu dan akan menerima motosikal jenis Honda EX5 tidak lama lagi.

Menurutnya, arwah sangat gembira selepas menerima panggilan telefon daripada syarikat terbabit mengenai hadiah cabutan bertuah yang dimenanginya pada minggu lalu.

“Motosikal itu akan akan dihantar ke rumahnya selepas syarikat tersebut akan menghubunginya. Arwah tidak sempat menerima dan melihat motosikal itu kerana dia sudah meninggalkan kami sekeluarga.

“Arwah kerap datang ke rumah saya sejak kebelakangan ini, namun dia kurang bercakap tidak seperti sebelum-sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Padang Kala, Peringat di sini hari ini.

Noraihan memberitahu, adiknya dijangka berpencen pada April tahun depan manakala isterinya, Nurmuzalifah Yahaya, 40, yang bertugas di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa pula akan bersama-sama melalui proses sama beberapa bulan kemudian.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian yang menimpa arwah kira-kira pukul 7.30 malam selepas dihubungi oleh anaknya, Ahmad Dhia Arrahman, 14, yang menerima panggilan daripada rakan arwah.

“Kami sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian sebelum ke Hospital Machang. Arwah bersama rakan setugasnya sedang dalam perjalanan pulang ke Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, selepas mengangkut barangan salah seorang anggota yang berpindah rumah di Tanah Merah.

“Kebetulan isteri arwah terpaksa pulang lewat kerana menghadiri majlis tahlil di pejabatnya semalam,” katanya.

Noraihan berkata, jenazah adiknya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Padang Kala di sini kira-kira pukul 2 petang ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, nahas yang mengorbankan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan di Kilometer 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, Machang semalam dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang gagal memotong sebelum bertembung dengan sebuah trak ATM seberat tiga tan dinaiki mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI