BANGKOK – Ketua jurulatih futsal lelaki negara, Rakphol Sainetngam yakin skuad bimbingannya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan sengit serta jadual padat temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Keyakinan itu bersandarkan kepada momentum positif dan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan barisan pemain dalam beberapa siri perlawanan persahabatan terdahulu.
Malaysia bakal berdepan ujian ketahanan mental dan fizikal apabila bertemu tuan rumah, Thailand pada aksi pembukaan Isnin ini sebelum menentang Vietnam (16 Disember), Myanmar (17 Disember) dan Indonesia (18 Disember).
Menurut Rakphol, fokus utama pasukan bukan sekadar memburu keputusan positif, sebaliknya membina pembangunan jangka panjang futsal negara.
“Persiapan berjalan dengan baik. Pemain menunjukkan komitmen tinggi untuk meningkat saban hari. Kami ada sasaran prestasi dan mahu melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini.
“Setiap lawan adalah kuat dan dalam sukan futsal, perincian kecil mampu menentukan keputusan perlawanan. Jika kami beraksi pada tahap terbaik, kami mampu mencabar mana-mana pasukan,” katanya.
Mengulas mengenai pertembungan menentang negara asalnya, Thailand, Rakphol bersikap profesional dan menegaskan emosi peribadi tidak akan mengganggu fokusnya bersama Malaysia.
“Itu bukan perkara besar kerana saya tahu mana yang perlu diberi keutamaan. Malah, sokongan peminat Thailand kepada saya amat bermakna walaupun saya membimbing Malaysia,” katanya.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara futsal Sukan SEA adalah meraih perak edisi 2007 dan 2017. – KOSMO! ONLINE














