fbpx
PERSEORANGAN pertama negara, Leong Jun Hao tewas kepada Alwi Farhan pada aksi final berpasukan menentang Indonesia kelmarin. - FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: ‘Bedah siasat’ segera dua sektor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengarahkan sektor perseorangan dan beregu lelaki negara ‘dibedah siasat’ menyeluruh susulan prestasi hambar apabila gagal membawa pulang pingat emas acara berpasukan Sukan SEA Thailand 2025.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan, badan induk itu memandang serius kegagalan tersebut dan menuntut pengarah jejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen dan pengarah kejurulatihan beregu, Rexy Mainaky mengkaji punca sebenar.

Jelasnya, langkah pembetulan drastik wajib diambil memandangkan masa semakin suntuk sebelum Malaysia berdepan cabaran lebih getir iaitu Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di Qingdao, China pada Februari tahun depan.

“Memang satu keputusan yang mengecewakan dan kita kena buat sesuatu yang drastik. Saya percaya kedua-dua pengarah kejurulatihan (Jonassen dan Rexy) kena kaji, post-mortem untuk pastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

Kenny mengakui kecewa sandaran emas yang diletakkan di bahu skuad badminton lelaki lebur begitu sahaja dan mahu sesuatu dilakukan bagi memperbaiki masalah tersebut.

“Seperti saya katakan, pasukan itu memang kami sasarkan emas. Jadi ini satu persembahan yang agak mengecewakan, kita perlu lakukan sesuatu,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menuntut barisan pemain agar tidak terus hanyut meratapi kekalahan, sebaliknya segera mengalihkan fokus memburu kilauan emas individu yang masih berlangsung.

“Buat masa ini saya harap pemain dapat fokus dalam acara individu. Itu lebih penting sekarang. Proses bedah siasat ini akan dibuat sebaik sahaja kita pulang ke Malaysia nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN