PETALING JAYA – Kesan kemusnahan dengan bau mayat yang masih dapat dihidu menjadi bukti kepada banjir besar yang melanda tiga wilayah utama di Sumetera, Indonesia sekalipun bencana itu sudah dua minggu berlalu.
Di sebalik timbunan lumpur tebal dan runtuhan kediaman, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sehingga kini masih berjuang menjejaki mangsa yang hilang, manakala penduduk pula bergelut untuk bangkit daripada krisis kehidupan pasca banjir.
Sukarelawan Pertubuhan Antarabangsa Al-Ain Malaysia (AIM), Salman Al Farisi Muhammad yang berada di Padang, Sumatera Barat melihat sendiri keadaan di kawasan itu yang boleh diibaratkan seperti padang jarak padang tekukur.
Dia yang tiba di lokasi bencana sejak Isnin berkata, kebanyakan rumah penduduk musnah dihempap kayu balak yang hanyut bersama banjir lumpur, sekali gus menyebabkan ramai mangsa terperangkap dan hilang.
“Hari pertama saya melihat sendiri sebuah kawasan perumahan elit yang sebelum ini tular selepas penempatan itu ditenggelami banjir.
“Hari kedua pula kami menuju ke tempat yang jauhnya 150 kilometer dan mengambil perjalanan selama kira-kira tiga jam.
“Di sinilah saya lihat rumah-rumah hancur, lumpur dan kayu balak dari atas bukit menolak bangunan-bangunan rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Paling menyayat hati, Salman berkata, bau busuk seperti mayat dan bangkai haiwan mula menusuk hidung setelah memasuki hari ke-14 selepas banjir berlaku.
“Saya sampai di sini dan mula terhidu bau mayat dan bangkai. Salah seorang petugas penyelamat turut berkongsi kisah bagaimana mereka masih terdengar orang-orang menjerit di sebalik timbunan kayu balak.
“Bermaksud ramai lagi mangsa menunggu untuk diselamatkan tetapi disebabkan kekurangan kemahiran dan jentera, operasi menyelamat menjadi sangat-sangat lambat. Bayangkan yang hancur tiga kampung tetapi jentera mengorek ada empat ke lima buah sahaja,” katanya.
Terdahulu, banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah utama iaitu Aceh, Sumatera Utara, dan Sumatera Barat pada 27 November lalu dianggap antara bencana alam paling dahsyat, dengan angka korban yang tinggi dan kemusnahan besar infrastruktur.
Setakat kelmarin, angka korban telah mencecah sekurang-kurangnya 964 orang dengan hampir 300 lagi masih hilang.
Sementara itu, sukarelawan dari misi kemanusiaan Sumud Nusantara yang tiba di Padang baru-baru ini turut mengakui kemusnahan teruk yang berlaku terutama di Palembayan, Agam, Sumatera Barat.
Haikal Abdullah berkata, keadaan di lokasi bencana itu masih sangat menyayat hati walaupun kejadian sudah dua minggu berlalu.
“Seramai 200 penduduk dilaporkan terkorban dengan 117 mayat telah ditemui, manakala 83 lagi masih hilang. Operasi pencarian terus giat diteruskan oleh pihak berkuasa.
“Mereka tidak menyangka kawasan yang jarang terkesan banjir ini boleh dilanda bencana sedahsyat ini selepas hujan tanpa henti selama seminggu,” katanya.
Bagi Imam Muda Asyraf pula, keadaan malam di Aceh Tamiang, Aceh pada waktu malam diibaratkan seperti ‘Kota Zombie’ ekoran bekalan elektrik yang terputus selepas dilanda banjir besar dan tanah runtuh baru-baru ini.
Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan yang menyertai misi bantuan berkata, kebanyakan penduduk tinggal berhari-hari tanpa elektrik, air bersih dan ubat-ubatan.
“Rumah mereka hancur. Makan mi tanpa air panas. Nasi sudah lama tidak kelihatan. Ada tapi perlu dicatu dan mereka tidak tahu ke mana mahu pergi dan sampai bila begini.
“Mereka tidur di tepi jalan, beratur mengecas telefon, menunggu makanan yang entah bila datang,” katanya.
Lebih memilukan, Asyraf berkata, banyak mayat yang ditemui dalam kereta-kereta yang tersadai selepas ditelenggami banjir besar. -KOSMO! ONLINE
















