BANDAR RAYA NEW YORK – Sekurang-kurangnya enam orang cedera termasuk anggota bomba dalam kebakaran di sebuah pangsapuri enam tingkat di negeri New York, lapor portal berita CBS News.
Kebakaran bermula sekitar pukul 8.20 pagi (waktu tempatan) di tingkat atas bangunan di West 107th Street berhampiran Amsterdam Avenue semalam.
Jabatan Bomba New York (FDNY) berkata, tiga orang awam dan tiga anggotanya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan bagi kecederaan ringan.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan bumbung bangunan itu dijilat api sambil mengeluarkan asap tebal ke ruang udara.
Situasi bertambah cemas apabila serpihan terjatuh ke kaki lima ketika berpuluh-puluh anggota bomba cuba memadamkan api.
“Kebakaran itu dinaikkan kepada tahap kebakaran besar yang memerlukan tindak balas besar-besaran daripada pelbagai agensi.
“Ia bermula di tingkat atas sebelum merebak dengan cepat,” kata seorang pegawai.
Bangunan itu dipercayai menempatkan 21 unit kediaman, manakala siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran. – AGENSI














