KUALA LUMPUR – Kebanyakan syarikat insurans tidak membenarkan orang kurang upaya (OKU) mengambil polisi insurans atau mengenakan syarat yang ketat kepada golongan tersebut.
Perkara itu dibangkitkan oleh Senator Isaiah Jacob kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni semasa persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Mendengar perkara tersebut, Lukanisman memberi jaminan beliau sendiri akan menyuarakan isu itu di peringkat kerajaan walaupun ia melibatkan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.
“Hasrat Kementerian Kesihatan untuk menyediakan perlindungan sejagat dan kita tidak akan menolak pesakit OKU. Melalui apa yang kita ada seperti tabung perubatan, kita akan menampung kos-kos warga OKU untuk mendapatkan bantuan (perubatan)
“Walau demikian apa yang saya lihat adalah perhatian daripada agensi-agensi berkaitan bagaimana membela atau mengangkat maruah pesakit OKU mendapatkan premium insurans. Saya akan suarakan isu ini kepada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Menjawab soalan Dr Wan Martina Wan Yusoff berkenaan Skim Perubatan Madani, Lukanisman berkata, pelaksanaan skim tersebut bergantung kepada keadaan fiskal negara.
Menurut beliau, keputusan kerajaan untuk kembali memberi tumpuan kepada pelaksanaan di 10 daerah sahaja berbanding kepada semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
kerana ia melibatkan peruntukan yang sangat besar.
“Skim perubatan benda ini bermula dengan cukup sederhana dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Dalam tempoh yang pendek kita telah pun membelanja hampir kesemua peruntukan tersebut.
“Tapi saya cukup yakin sekiranya keadaan fizikal negara kita mempunyai pendanaan kesihatan yang lebih baik, kita akan memperkembangkan (Skim Perubatan Madani),” katanya. – KOSMO! ONLINE














