LONDON – Seorang jurutera cedera selepas terjatuh pada ketinggian 6 meter ketika melakukan pemeriksaan rutin ke atas pesawat di sebuah lapangan terbang di Britain, lapor akhbar Mirror UK.
Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Heathrow, Ahad lalu.
Pekerja tersebut dilaporkan terjatuh semasa memeriksa unit kuasa tambahan pada ekor pesawat milik syarikat penerbangan British Airways yang diletakkan di hangar.
Perkhidmatan Ambulans London dipanggil ke tempat kejadian sekitar pukul 2.07 pagi (waktu tempatan) dan merawat mangsa sebelum dia dibawa ke hospital.
Menurut sumber, kemalangan itu jarang berlaku dan telah mencetuskan kejutan dalam komuniti British Airways.
“Jurutera itu sedang menilai keselamatan jet sebelum terjatuh pada ketinggian lebih 6 meter ke atas konkrit. Dia adalah jurutera yang memiliki latar belakang sempurna dan siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” kata sumber.
British Airways berkata, siasatan sedang dijalankan bersama Eksekutif Kesihatan & Keselamatan. – AGENSI














