NILAI – Lelaki warga Bangladesh yang didakwa merogol seorang gadis berusia 16 tahun sehingga hamil direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Johari Yahya berkata, perintah reman ke atas suspek berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Farha Sulaiman di Mahkamah Majistret Seremban dekat sini.
“Siasatan ke atas lelaki asing itu akan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang lelaki Bangladesh yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor ditahan selepas dipercayai memperkosa gadis bawah umur sehingga hamil.
Tangkapan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa yang memaklumkan anaknya dirogol sejak Mei lalu. Suspek mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sebanyak empat kali di kedai runcit tempat mereka bekerja. – KOSMO! ONLINE














