PETALING JAYA – Selepas dua bulan ibu angkat Nur Qasehku Suhaimi, 15, mencari anaknya tanpa henti, remaja tersebut akhirnya ditemui selamat di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur petang semalam.
Nurhazlin Mohd. Nor, 44, berkata, dia menerima panggilan daripada sepasang suami isteri kira-kira pada pukul 3.30 petang semalam memaklumkan mereka ternampak Nur Qaseh sedang berjalan seorang diri.
Katanya, Nur Qaseh atau mesra disapa Qaseh ketika itu meminta makanan kepada pasangan suami isteri tersebut kerana kelaparan selain berada dalam keadaan kusut-masai serta amat kurus.
“Selepas melakukan panggilan video, saya terkejut melihat betul lah tu anak saya. Tapi dia beritahu nama dia Nana. Saya minta suami isteri tersebut berikan makanan sementara saya dan suami bertolak ke sana (Kuala Lumpur) dari Melaka.
“Sampai sahaja dalam pukul 10 malam saya tengok dia kurus dan gelap mungkin sebab asyik berjalan seorang diri. Kemudian kami terus bawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nurhazlin berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati Qaseh berada dalam keadaan baik tanpa kecederaan dalaman dan luaran atau pun sebarang trauma.
“Cuma Qaseh memang tak sihat mentalnya. Nampak dia stres. Jadi bila saya jumpa dia, saya kata ‘Ini ibu ni’, dia blur lagi. Lama-lama baru dia kata ‘ibu ibu’. Setakat ini dia tak ingat apa yang berlaku. Memang kena ambil masa sedikit kalau nak bercakap dengan dia,” katanya.
Sementara itu, Nurhazlin turut mengucapkan terima kasih kepada para media dan orang ramai yang banyak membantu sejak awal kehilangan Qaseh.
Dia kata walaupun berdepan dengan pelbagai individu yang cuba mengambil kesempatan dengan menipunya, Nurhazlin reda dan menganggap ianya sebahagian daripada ujian untuk menemukan kembali anaknya.
“Sebenarnya saya dah pasrah sebab dah habis ribu riban sebab ramai yang tipu kata dah jumpa anak saya, minta saya pindahkan sejumlah wang.
“Hari Jumaat lepas saya tawakal, saya minta tolong imam masjid buat solat hajat sebab saya dah buntu sangat. Apa-apa pun saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Nurhazlin berkata, dia mengambil Qaseh sebagai anak angkat sejak usianya masih bayi lagi.
Bagaimanapun, kasih sayang yang dicurahkan kepada Qaseh adalah sama sahaja seperti tiga lagi anak kandungnya.
“Saya dan suami ni memang seorang yang penyayang. Kami memang suka bayi. Saya tidak pernah anggap Qaseh sebagai anak angkat dan tak pernah pun cakap dengan Qaseh tentang perkara itu.
“Saya besarkan Qaseh amat sempurna, beri yang terbaik untuk makan pakai dia. Cuma Qaseh memang remaja yang ‘istimewa’ sedikit dari kecil lagi,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Nurhazlin merayu orang ramai khususnya warga Kuala Lumpur agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya ternampak kelibat anaknya.
Remaja itu yang menghadapi masalah mental dilaporkan hilang pada 3 Oktober lalu dan kali terakhir dilihat berada di hadapan kedai 7-Eleven, Jalan Seri Krubong 2.- KOSMO! ONLINE














