fbpx
Muhammad Izzat maut selepas ditimpa pokok tumbang ketika melakukan penghantaran makanan di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh, Melaka.

‘Adik buat dua kerja sebab nak kahwin tapi tak kesampaian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – “Adik bekerja keras nak kumpul duit kahwin dan ketika dia ditimpa pokok pun dia sedang membuat penghantaran makanan,” luah Izzaty Hamidah Sharil, 27, kakak kepada pemuda yang maut akibat ditimpa pokok tumbang ketika melalui Jalan Tun Razak-Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Muhammad Izzat Daanish Sharil, 22, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Izzaty, adiknya itu melakukan dua pekerjaan bagi mengumpul wang persiapan untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya yang dirancang diadakan pada Disember tahun hadapan.
“Adik kerja tetap di sebuah pusat permainan tertutup dan dalam masa sama buat p-hailing untuk nak kumpul duit kahwin. Bulan lepas dia baru sahaja selesai mengikuti kursus perkahwinan.

“Tak sangka dia maut dalam insiden pokok tumbang, saya sangat rindukan dia dan arwah satu-satunya adik saya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, dia berkata adiknya itu sempat meraikan ulang tahun kelahirannya pada 29 November lalu dan menjadi memori yang tidak akan dilupakannya.

“Itulah kenangan manis terakhir kami bersama-sama. Saya dapat tahu adik meninggal selepas diberitahu ibu.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lintang kira-kira pukul 12 tengah malam tadi,” ujarnya.

Terdahulu, dalam insiden tersebut, dua lagi individu turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital selepas Perodua Axia yang dinaiki mereka dihempap dahan pokok yang tumbang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI