PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas dituduh pencuri oleh suaminya hanya kerana mengambil RM50 untuk membeli makanan dan mengisi minyak kereta.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita terbabit mendakwa telah meminta izin untuk meminjam RM50 kerana hari gaji masih berbaki beberapa hari, namun permintaannya tidak dipedulikan.
“Aku minta pinjam RM50 sebab lagi beberapa hari nak gaji tapi tak ada duit untuk isi minyak dan makan. Tapi dia (suami) tak bagi pinjam dan kata makan apa yang ada, duit minyak pula pandai-pandailah cari sendiri.
“Jadi aku transfer duit dari akaun bank dia (suami) dengan niat nak bayar balik. Tapi bila dia perasan, dia mengamuk dan kata aku isteri perompak, pencuri,” katanya.
Malah katanya, dipaksa untuk memulangkan semula duit tersebut walaupun suaminya memiliki RM10,000 dalam simpanan sebelum menghubungi ibunya kerana mencuri duit RM50.
“Dia (suami) telefon mak saya kata ‘Anak mak ini pencuri. Tolong ajar anak mak! Saya tak boleh percaya dia langsung’,” ujarnya.
Difahamkan, wanita tersebut pernah memfailkan surat perceraian namun ditinggalkan berseorangan di mahkamah tanpa tindakan lanjut.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai menasihatkan wanita tersebut agar menyelamatkan diri daripada perkahwinan itu.
“Belajar agama ke tak suami awak ini? Tak mati pun kalau bagi isteri RM50. Panggil ustaz suruh buat rawatan Islam pada suami awak,” komen @Syafmira21.
“Kalau suami selalu naik tangan (pukul) kamu, sepatutnya kamu tinggalkan sahaja daripada teruskan perkahwinan seperti itu,” komen @Noordinabbas. –KOSMO! ONLINE














