KAJANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Langat memasuki hari ketiga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini satu lagi mangsa masih belum ditemukan dan usaha pencarian sedang dipertingkatkan.
Beliau berkata, operasi hari ini dipecahkan kepada dua zon pencarian membabitkan jarak kira-kira 10 kilometer bermula dari lokasi kejadian sehingga ke Jalan Mendaling menuju Jalan Reko.
“Seramai 65 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam Op SAR termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Relawan Bomba (RBM).
“Operasi turut dibantu dua ekor anjing pengesan K9 daripada JBPM dan APM selain penglibatan Pasukan Skuba JBPM, Unit Dron APM serta dua bot jenis Whally,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pencarian turut difokuskan menyusuri Sungai Langat ke arah Dengkil bagi memperluaskan skop pencarian mangsa yang masih hilang.
Tambahnya, operasi akan diteruskan selagi keadaan cuaca dan keselamatan anggota berada pada tahap terkawal.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak dan remaja lelaki dilaporkan hanyut dibawa arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE














