fbpx
Saiful Azlan (tengah) diraikan oleh adik-beradik dan saudara-mara ketika menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UPM semalam.

‘Ibu kata masa dia sudah sampai, tetapi…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Suasana sebak menyelubungi Majlis Konvokesyen Ke-49 Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila dua graduan anak ya­tim piatu tampil ke pentas me­nerima ijazah dengan hanya ditemani adik-beradik, nenek dan saudara mara.

Graduan Rekabentuk Perindustrian dengan Kepujian, Saiful Azlan Sharif, 24, kehilangan ba­pa sejak berusia empat tahun, ma­nakala ibunya pergi mengadap Ila­hi ketika dia berada di tahun ketiga pengajian di Fakulti Rekabentuk dan Senibina.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia berpegang teguh pada pesanan terakhir arwah ibunya yang mahu dia terus melangkah ke hadapan.

“Ibu kata masa dia sudah sampai, tetapi masa adik masih panjang dan banyak lagi yang perlu dibuktikan. Setiap kali lemah, kata-kata itu kembali terngiang-ngiang dan menjadi semangat untuk saya meneruskan usaha hingga dapat menyarung jubah konvokesyen,” katanya.

Menurut Saiful Azlan, walaupun cemerlang di sekolah rendah, tetapi prestasinya merosot ketika di peringkat menengah hingga kehilangan kepercayaan guru-gurunya.

Katanya, ketika itulah dia nekad untuk membuktikan yang dia boleh berjaya untuk cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya sambung tingkatan enam, tetapi Covid-19 melanda, kakak ditidurkan selama 11 hari akibat kencing tikus manakala ibu pula diserang strok hingga menyebabkan pembelajaran saya terjejas,” katanya.

Ujarnya, walaupun ibu­nya sudah tiada, kehadiran abang dan kakaknya menyaksi­kan dia menerima ijazah dan me­nyarung jubah konvokesyen cukup menyentuh hatinya.

Sementara itu, Nik Maisara Faireen Putri Muhammad Rohaizan, 24, yang turut kehilangan ibu bapa ketika usia muda berjaya memperoleh Ijazah Kejuruteraan Perisian Dengan Kepujian.

Katanya, perjalanan hidupnya penuh berliku, namun kesakitan akibat kehilangan itulah yang membentuk ketabahan dirinya.

“Bapa pergi pada 2006 dan ibu pula menyusul 10 tahun kemudian ketika saya masih mencari arah hidup,” katanya.

Menurut Nik Maisara Faireen Putri, dia kemudian menum­pang di rumah ibu saudaranya di Ampang, Selangor.

“Saya ingin menjadi contoh yang baik buat adik-adik kerana saya mahu mereka tahu bahawa walaupun hidup bermula dengan cabaran dan kehilangan, kita masih mampu berdikari, berusaha dan mencapai kejayaan jika tidak berputus asa,” katanya.

Nik Maisara cemerlang mena­matkan pengajian dengan kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Perisian yang memberinya pe­ngalaman latihan industrinya di Asia Digital Engineering.

Kini, Nik Maisara meneruskan kerjaya dalam industri pe­ner­bangan, terlibat dalam pembangunan dan pengujian sistem berkaitan operasi kejuruteraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN