AZIZI bersama hasil-hasil karya lukisan batunya yang cukup menarik.

Ilham seni lukisan batu Azizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“AKU melukis objek sambil memikirkannya, tidak sambil melihatnya.” Demikian kata hikmah pelukis ulung dunia, Pablo Picasso mengenai kepentingan imaginasi sebagai ‘senjata’ utama bagi seorang seniman.

Jika menyebut soal lukisan, karya seni secara umumnya banyak dihasilkan di atas kertas atau kanvas, namun ilham berbeza digunakan Azizi Zulkepli, 57, yang memilih medium batu sungai untuk mencurahkan kreativiti dan hasil seninya.

Lukisan batu atau rock painting dihasilkan bekas arkitek perkapalan itu turut memerlukan ketelitian, teknik dan kemahiran yang tinggi.

Selain kepelbagaian batu sungai, kesesuaian cat dan warna turut menjadi fokus bagi mendapatkan hasil kerja yang memuaskan.

Biarpun agak rumit, Azizi cekal berusaha menghasilkan karya terbaiknya terutama bercirikan pemandangan dan alam semula jadi.

 

 

AZIZI mendapatkan batu-batu sungai di sekitar Selangor dan Perak.

Graduan Sarjana Kejuruteraan Arkitek Perkapalan Kolej Maritim SUNY, New York, Amerika Syarikat itu turut menampilkan keunikan tersendiri dengan mempromosikan Malaysia menerusi karya seninya.

Justeru, tidak pelik apabila lukisan batu yang dihasilkannya turut diminati pelanggan dari luar negara seperti United Kingdom dan New Zealand.

Azizi berkata, idea itu tercetus sejak tahun 2018 selepas hampir 30 tahun bekerja dalam bidang perkapalan selain konsultan minyak dan gas.

“Seni lukisan sememangnya ada dalam jiwa saya sejak bangku persekolahan, namun faktor kerjaya membataskan segalanya sebelum ini.

“Selepas dua tahun bersara pada tahun 2016, hati ini tertarik apabila seorang ahli keluarga menunjukkan batu yang dibentuk menyerupai pokok kaktus dalam medium lukisan batu.

“Hasil seni itu dianggap unik dan memberi inspirasi kepada saya untuk berkarya dengan menggunakan batu sungai,” katanya ketika ditemui Panorama di kediamannya di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

 

 

BATU-BATU diratakan dan dicatkan putih dahulu sebelum lukisan dihasilkan.

Anak kelahiran Gopeng, Perak itu turut membuat penyelidikan di internet sebelum memulakan aktiviti lukisan batu yang sudah dikenali di luar negara.

Jelas Azizi, kriteria utama bagi penghasilan seni itu bergantung kepada ciri-ciri batu terutama bentuk dan saiznya.

“Saya kebiasaannya akan mengutip batu sungai di sekitar Selangor dan Perak yang dianggarkan seberat 20 gram hingga 10 kilogram. Permukaan batu itu bagaimanapun kebanyakannya tidak begitu rata atau berlekuk sekali gus menyukarkan lukisan dihasilkan.

“Keadaan itu memaksa saya untuk meratakan permukaan batu terlebih dulu sebelum proses melukis dilakukan,” katanya.

Selain imaginasi dan kreativiti, ujar bapa kepada tiga anak itu, penghasilan lukisan juga bergantung kepada kesesuaian cat atau warna.

 

PERKAKAS dan pewarna yang digunakan meliputi cat dan pen marker.

 

“Saya sebelum ini pernah melukis dengan cat yang tidak sesuai sehingga menyebabkan lukisan menjadi rosak. Keadaan itu turut berlaku ketika proses mengilat batu apabila cat atau warna lukisan berubah menjadi cair,” katanya.

Azizi menambah, tempoh penghasilan lukisan itu bergantung sepenuhnya kepada saiz batu dan cuaca.

“Lazimnya, setiap lukisan dapat saya siapkan dalam tempoh sehari hingga empat hari. Batu-batu itu mempunyai ketinggian antara empat hingga 18 sentimeter (sm), manakala kelebarannya berukuran lima hingga 15sm.

“Namun, selain proses meratakan permukaan, faktor cuaca amat penting bagi mengeringkan lukisan batu ketika dijemur,” ujarnya.

AZIZI mewarnakan salah satu batu sungai yang dikutipnya.

 

 

Sehingga kini, Azizi tidak menyangka aktiviti yang awalnya hanya hobi itu kini menjadi medium untuk mengekspresikan karya lukisan secara lebih kreatif.

Selain lukisan berkonsepkan pemandangan atau alam semula jadi, Azizi berbangga dapat mencurah bakti dengan mempromosikan negara ini di mata dunia.

“Karya yang pernah saya hasilkan itu antaranya lukisan sawah padi, rumah warisan kampung, bunga keladi, air terjun dan kereta Proton Saga. Ada daripada lukisan itu juga dibeli pelanggan tempatan yang menghadiahkannya kepada rakan mereka di luar negara,” katanya yang sudah menghasilkan lebih 50 lukisan batu setakat ini.

Lukisan batu itu bukan saja menjadi hiasan dalaman dan halaman rumah, malah berfungsi menjadi penyendal pintu, pemberat kertas dan cenderamata bagi acara tertentu.

Keunikan seni lukisan itu turut terletak pada faktor tiga dimensi yang dapat dilihat dan dipegang sendiri secara nyata.

 

AZIZI turut menghasilkan semula batu lukisan berbentuk kaktus seperti yang pernah ditunjukkan kepadanya sekali gus menjadi cetusan inspirasi.

Karya lukisan batunya boleh disaksikan di Facebook ‘lets rock decor’ atau laman Instagram, letsrockdecor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN