TEKA-TEKI mengenai barisan kuartet 4×100 meter (m) wanita negara akhirnya terjawab apabila Chelsea Cassiopea Evaly Bopulas bakal disenaraikan sebagai pelari simpanan susulan ketiadaan ratu 400m negara, Shereen Samson Vallabouy.
Perkara itu disahkan jurulatih kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil yang memaklumkan semua empat pelari utama sudah dikenal pasti untuk membawa cabaran negara pada Sukan SEA Thailand 2025.
Barisan tersebut akan diterajui ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohd. Rizal, Nur Aishah Rofina Aling dan pelari meningkat naik Nurul Wardatul Huwaida Mohd. Hamka.
“Untuk acara 4x100m, Shereen menarik diri. Buat masa ini, barisan sedia ada ialah Zaidatul, Wardatul, Nur Afrina dan Nur Aishah.
“Chelsea diletakkan sebagai pelari simpanan. Jika diperlukan, pendaftarannya akan dibuat. Ketika ini, fokus kekal kepada empat pelari utama,” katanya.
Shereen yang sebelum ini menjadi antara sandaran utama skuad pecut negara menarik diri berikutan kecederaan hamstring yang belum pulih sepenuhnya, sekali gus berisiko tinggi sekiranya tetap diturunkan pada temasya dwitahunan itu.
Ketiadaannya tidak mematahkan keyakinan kem negara yang kini bergantung kepada pengalaman Husniah bersama gandingan muda berpotensi untuk mencabar dominasi kuasa besar rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam.
Pada edisi terdahulu di Kemboja dua tahun lalu, kuartet negara mencipta kejutan apabila meraih gangsa dengan catatan rekod baharu kebangsaan dalam acara tersebut.
Ketika itu, Malaysia dibarisi Azreen Nabila Alias sebagai pelari pertama diikuti Husniah, Afrina Batrisyia dan Aishah Rofina yang mencatat masa 44.58 saat (s) sekali gus memadam rekod lama 45.18s dicipta pada Kejohanan Olahraga Asia 2017 di Odisha, India. – KOSMO! ONLINE














