fbpx
MEGAT SANY (tengah) melakukan gimik pelancaran AUG 2026 pada majlis yang diadakan di Kuala Lumpur semalam. - SUKAN IPT

Peluang tamatkan penantian 13 tahun AUG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia memasang impian untuk menamatkan penantian 13 tahun bergelar juara keseluruhan Sukan Universiti ASEAN (AUG) sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2012 di Vientiane, Laos.

Kini, peluang terbaik hadir pada edisi ke-22 tahun depan apabila Malaysia menjadi tuan rumah AUG 2026 yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dari 10 hingga 20 Disember 2026.

Sebagai langkah awal, kontinjen negara mengambil langkah selamat tanpa meletakkan sebarang tekanan berlebihan dengan menyasarkan penamat dalam kelompok tiga teratas seperti dilakukan dalam lima edisi terakhir.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, sasaran realistik itu mampu dicapai dan tidak mustahil meraih pencapaian lebih gemilang dengan bergelar juara keseluruhan edisi kali ini.

“Kita sasarkan salah satu tempat tiga teratas. Kalau boleh, kita mahukan nombor satu kerana itu sasaran kita sebagai penganjur.

“Tetapi kita muhasabah sedikit, jadi kita kata tiga teratas. Kita doakan atlet kita dapat menunjukkan prestasi yang supaya mereka akan terpilih untuk temasya sukan yang lebih besar nanti.

“Kita sudah mengenalpasti 25 acara sukan dan kita akan menampilkan atlet yang terbaik daripada universiti kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran AUG 2026 di Kuala Lumpur semalam.

Lima universiti tempatan menjadi venue bagi saingan AUG 2026 seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

25 acara sukan yang sudah dikenal pasti bakal dianjurkan adalah badminton, bola sepak, petanque, bola keranjang, boling padang, catur, silat, taekwondo, hoki, futsal, renang, bola tampar, memanah, sepak takraw, tenpin bowling, hoki dewan, olahraga, ping pong, karate, bola baling, bola jaring, menembak, skuasy, ragbi 7s dan terjun.

Sebagai rekod, AUG adalah temasya sukan dwitahunan yang melibatkan atlet dari universiti negara-negara anggota ASEAN dan mula dipertandingkan pada 1981 di Chiang Mai, Thailand.

Sepanjang penganjuran AUG sejak 1981, Malaysia pernah muncul juara keseluruhan sebanyak dua kali bermula edisi Kuala Lumpur 2008 dan Vientiane 2012.

Penganjuran terakhir pada edisi 2022 di Surabaya-Malang, Indonesia menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tangga ketiga dengan 38 pingat emas, 47 perak dan 62 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI