LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot akhirnya mengakui Anfield seakan tidak lagi mampu berperanan sebagai gelanggang keramat pasukan itu dan sudah hilang aura yang mampu menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lawan.
Reaksi itu hadir selepas The Reds hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Sunderland di mana anak buahnya sekadar mengharapkan kebangkitan selepas terlebih dulu ketinggalan.
“Ia jelas yang pasukan yang menentang kami fikir mereka mampu mendapatkan keputusan. Jika Sunderland mendapat sepakan percuma, mereka terus menghantar bola ke kawasan kami dan ia menghadirkan situasi bahaya.
“Mereka juga mampu memberikan ancaman menerusi situasi bola mati. Tetapi yang bagus, kami tidak melepaskan sebarang gol menerusi situasi bola mati,” katanya.
Terdahulu, Chemsdine Talbi meletakkan Sunderland di depan dan Liverpool hanya mengharapkan gol sendiri pasukan lawan selepas Nordi Mukiele cuba menghalang percubaan Florian Wirtz.
Rakan sejawatnya di Sunderland, Regis Le Bris nyata berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh pemainnya yang hampir saja memastikan tiga mata di Anfield.
“Kami mempunyai peluang untuk mendapatkan gol kedua namun ini juga adalah keputusan baik buat kedua-dua pasukan. Saya tidak fikir kami berasa kecewa sebaliknya bangga dengan apa kami lakukan,” katanya. AGENSI














