PETALING JAYA – Seorang bapa yang baru kehilangan bayi berusia lima hari akibat komplikasi jantung meluahkan rasa kesal kerana berdepan kesukaran untuk menuntut jenazah anaknya di Unit Forensik di sebuah hospital selepas dimaklumkan bahawa waris hanya dibenarkan membawa pulang jenazah menggunakan van jenazah.
Menurut hantaran di Facebook Mr Wan Cai Official, dia dihubungi si bapa yang memohon nasihat dan bantuan mendapatkan khidmat van jenazah untuk membawa pulang jenazah ke kampung halaman.
Bagaimanapun dia menjelaskan kepada bapa tersebut bahawa bagi kes jenazah bayi berusia bawah dua tahun, adalah lebih sesuai jika jenazah dipangku dan dibawa dengan kenderaan sendiri kerana saiz tubuh yang kecil menyebabkan penggunaan pengusung atau keranda menjadi kurang stabil.
“Beberapa minit kemudian, si bapa menghubungi saya semula. Beliau memaklumkan bahawa staf forensik hospital telah menetapkan syarat bahawa jenazah hanya boleh dituntut sekiranya waris menyediakan van jenazah.
“Saya meminta agar telefon diserahkan kepada staf yang bertugas untuk mendapatkan penjelasan secara langsung. Seorang staf lelaki kemudian telah bercakap dengan saya dan menegaskan bahawa pihak hospital tidak membenarkan jenazah bayi tersebut dibawa menggunakan kenderaan persendirian atas alasan ia adalah berisiko,” katanya.
Katanya, petugas tersebut bagaimanapun tidak dapat menyatakan apakah jenis risiko yang dihadapi dan mengulangi bahawa arahan tersebut adalah merupakan arahan hospital.
“Adalah tidak wajar untuk menyusahkan waris yang sedang berduka dengan syarat yang tidak munasabah. Saya mengingatkan staf tersebut agar tidak mencampuri urusan pengurusan jenazah yang bukan dalam bidang kuasa hospital.
“Si bapa memaklumkan bahawa staf berkenaan masih berkeras mewajibkan penggunaan van jenazah. Tindakan staf tersebut menimbulkan kemarahan saya kerana ia memberikan tekanan emosi yang tidak perlu kepada waris,” katanya.
Katanya, dia kemudian mengarahkan si bapa untuk memaklumkan kepada staf tersebut bahawa pihaknya akan menghubungi pihak pengarah hospital dan membuat aduan.
“Tidak lama kemudian, si bapa memberitahu beliau telah dibenarkan menuntut jenazah dan membawanya pulang menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meluahkan perasaan kesal dengan sikap petugas yang tidak memudahkan urusan waris selain ada yang menggesa agar pihak hospital lebih peka mengenai perkara demikian.
“Jangan biarkan perkara ini..buat aduan sispa terus, email ke pengarah hospital. Dapatkan penjelasan dari pihak hospital, jika tiada tindakan dan makluman ke peringkat atasan, perkara ni tak akan selesai. Nanti mereka buat pula pada orang lain,” kata Sadako.
“Ejen van jenazah ke? Tak pernah jadi kewajipan pun sebelum-sebelum ni?,” soal Izzat.
“Macam-macam kerenah, sepatutnya dipermudahkan urusan bagi menyegerakan proses yang sepatutnya bukan melambatkan, cukup-cukuplah..proses pengurusan jenazah tak kira usia adalah fardu kifayah…apa pun semoga lepas ini tak berlaku lagi,” kata Nizam. – KOSMO! ONLINE














