KUALA LUMPUR – Hutang kad kredit rakyat terus menggunung apabila jumlah keseluruhan mencecah RM50.7 bilion setakat September lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, RM551.8 juta daripada jumlah itu adalah hutang tertunggak yang belum dijelaskan oleh pemegang kad.
Beliau menjelaskan peningkatan pembelian secara kredit di platform e-dagang antara faktor utama yang mengheret isi rumah kepada hutang, termasuk penggunaan kad kredit dan skim Buy Now Pay Later (BNPL).
“Kad kredit dan kad caj masih menjadi instrumen pembiayaan pengguna yang paling banyak digunakan, terutama untuk pembelian dalam talian,” katanya menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa hutang melalui skim BNPL kini mencecah RM4.2 bilion, dengan tujuh juta akaun aktif di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, RM147.7 juta (3.5 peratus) adalah hutang BNPL tidak berbayar, melibatkan 185,465 pemegang akaun.
“Akta Kredit Pengguna 2025 yang bakal berkuat kuasa hujung tahun ini akan mengawal selia syarikat BNPL. Mereka perlu pastikan pengguna benar-benar mampu berhutang sebelum menawarkan pembiayaan,” katanya.
Langkah itu, jelasnya, penting bagi mengekang isi rumah daripada terjebak dengan hutang melebihi kemampuan, sekali gus mengelakkan kesan domino kepada kestabilan kewangan negara. – KOSMO! ONLINE.














