fbpx
Peniaga melelong barangan terutama pakaian pada harga serendah 20 baht atau kira-kira RM3 selepas banjir besar di Hatyai baru-baru ini. IHSAN MOHD ZAIDI DESA

[VIDEO] Lelong barang terendam banjir Hatyai serendah RM3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Bandar Hatyai yang terjejas teruk akibat banjir besar baru-baru ini bukan sahaja sibuk dengan operasi pembersihan, malah turut berlangsung jualan lelong barangan yang terendam air.

Beberapa lokasi tumpuan membeli-belah sesak dengan orang ramai yang tidak melepaskan peluang membeli barangan pada harga serendah RM3.

Kebanyakan barangan yang terendam air dijual pada harga 10 peratus daripada harga asal.

Selain aktiviti lelong, terdapat juga barangan seperti pakaian yang rosak termasuk terkena lumpur diletakkan di bahu jalan dan ‘roundabout’ untuk diberikan secara percuma kepada orang ramai di situ.

Menurut Mohd. Zaidi Desa, 43, dia pergi ke Hatyai kelmarin untuk melihat keadaan beberapa masjid di sana selepas banjir.

“Saya ambil kesempatan melihat kerosakan yang berlaku di Hatyai akibat bencana itu dan boleh dikatakan hampir 90 peratus terjejas.

“Dulu saya merupakan antara pelancong pertama yang masuk selepas sekatan dibuka akibat pandemik Covid-19, kali ini saya juga antara terawal melihat kesan bencana ini di Hatyai,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Katanya, semasa pandemik Covid-19 memang pelancong tiada di sana tetapi barangan peniaga tidak rosak dan bencana kali ini memberikan impak lebih buruk.

“Di Hatyai ketika ini, peniaga melelong apa yang boleh untuk mendapatkan wang kerana sumber kewangan mereka adalah perniagaan. Kebanyakannya menjual pakaian, sarung telefon bimbit, malah makanan yang masih elok seperti gajus pun mereka jual.

“Memang ramai yang datang membeli dan saya rasa ada penduduk dari luar Hatyai. Orang Malaysia tiada kecuali saya. Saya hanya beli tiga helai t-shirt berharga kira-kira 20 baht atau sekitar RM3 sahaja, mungkin harga asalnya dalam RM20,” ujarnya.

Jelasnya, bandar itu masih dalam operasi pembersihan dengan bekalan air dan elektrik belum pulih sepenuhnya.

“Setakat kelmarin, mereka hanya menggunakan generator untuk bekalan elektrik termasuk untuk mengecas telefon bimbit. Terdapat juga penduduk yang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN