TANAH MERAH – Seorang penganggur yang dipercayai menikam isterinya hingga mati dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini semalam kerana cemburu selepas mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih direman enam hari.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Ahad ini terhadap lelaki berusia 63 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Tahanan reman itu bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini untuk prosiding reman kira-kira pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, seorang lelaki bertindak di luar dugaan apabila menikam isterinya sampai mati kerana cemburu selepas mengesyaki wanita itu mempunyai teman lelaki sejak bekerja sebagai tukang masak di sebuah kantin di Selangor.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Mastura Abdullah, 40, ditemui sudah dalam keadaan tidak bernyawa dan berlumuran darah di ruang dapur rumah tersebut selepas ditikam suaminya yang berusia 63 tahun dengan sebilah pisau.
Adik mangsa, Mohd. Jony Abdullah, 30, berkata, suspek yang merupakan abang iparnya menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira dua jam kemudian selepas mengambil anaknya dari sekolah.
Sementara itu, sepupu arwah, Razuan Mat Yazid, 30-an berkata, suami mangsa mengesyaki arwah mempunyai teman lelaki sejak bekerja di Selangor dan kerap menghubunginya untuk mengadu mengenai masalah itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas ditikam dengan dua tikaman pada bahagian belakang badannya.
“Siasatan mendapati, mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum ditikam dengan menggunakan sebilah pisau.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek yang merupakan suami mangsa mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














