fbpx
RUZITA (dua dari kiri) menghadiri Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Pengiktirafan Sijil Bersih dan Selamat (BeSS) di Zus Coffee, Bukit Baru, hari ini yang disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.- AMRAN ALI/KOSMO!

Hubungan sejenis kini punca utama jangkitan HIV di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Hubungan seksual, khususnya hubungan sejenis kini dikenal pasti sebagai punca utama jangkitan baharu HIV di negeri ini berbanding trend beberapa tahun lalu yang disumbangkan daripada perkongsian jarum suntikan.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, situasi itu berkait rapat dengan perubahan corak pengambilan dadah apabila rata-rata penagih dadah lebih cenderung menggunakan dadah sintetik.

Menurutnya, peralihan tersebut menyebabkan risiko jangkitan melalui perkongsian jarum menurun dengan ketara, sekali gus menjadikan faktor hubungan seksual sebagai penyumbang utama jangkitan.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini kita dapat melihat peningkatan jelas jangkitan HIV yang berpunca daripada hubungan seksual, termasuk hubungan sejenis, selari dengan trend di peringkat nasional.

“Golongan yang paling terkesan adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 60 tahun, iaitu kumpulan usia bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Pengiktirafan Sijil Bersih dan Selamat (BeSS) yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem di Zus Coffee, Bukit Baru di sini, hari ini.

Tambah Ruzita, walaupun jumlah kes tidak menunjukkan peningkatan mendadak, perubahan kepada punca jangkitan itu wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“Kini, kebanyakan jangkitan yang dikesan adalah melalui hubungan seksual sama ada membabitkan gay ataupun lesbian, seperti yang turut direkodkan di peringkat nasional,” jelasnya.

“Tapi ingin saya mengingatkan masyarakat agar tidak membuat tanggapan melulu kerana tidak semua pesakit HIV dijangkiti akibat tingkah laku berisiko, ada sebahagian mereka yang tidak bersalah, sebab itulah usaha mengurangkan stigma sangat penting,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI