JIKA sebelum ini Julia Farhana hanya berjinak-jinak dalam bidang penerbitan, kini langkahnya lebih panjang apabila menceburi sektor perladangan dan perniagaan agrikultur.
Bermula dengan lima ekar (dua hektar) tanah pada 2019, kini pemilik nama lengkap Julia Farhana Marin sudah mengusahakan kira-kira 30 ekar (12 hektar) ladang di sebuah kawasan Pahang. Perkembangan itu sekali gus membuktikan minat yang tersemat sejak remaja bukan sekadar angan-angan.
“Sebenarnya dah lama saya buat ladang, bermula dengan cili kira-kira enam tahun lalu. Selepas itu, tanam timun dan buah-buahan termasuk markisa dan limau sehingga terhasilkan bisnes jus dengan rakan perniagaan saya.
“Dari remaja lagi saya rancang buka ladang sebab berminat dengan dunia pertanian. Saya buat kajian, tiba-tiba sistem fertigasi automatik jadi popular.
“Sebelum ini kira-kira 10 ke 15 tahun saya takut nak buat secara manual. Tak cukup pekerja, kos naik jadi saya tangguhkan dahulu hasrat.
“Bila sudah ada sistem fertigasi automatik, kawal air atau jumlah bahan kimia boleh dibuat melalui telefon bimbit, saya jadi yakin nak buat,” kepada HibGlam.
Namun adat dalam dunia perniagaan, pasti diuji dengan pelbagai dugaan. Wanita berusia 30 tahun itu pernah melalui detik paling getir apabila banyak tanamannya mati sehingga menghadapi kerugian puluhan ribu ringgit.
“Sekitar lima tahun lalu, ‘batch’ pertama kira-kira 6,000 pokok mati. Rugi dalam RM50,000 ke RM60,000
“Permulaan pun dah teruk, jadi saya nekad cari guru. Jadi, saya jumpa rakan perniagaan saya sekarang, dia beri tunjuk ajar. Bila dah ada sifu, berani nak buat lagi. Alhamdulillah, sampai hari ini cili dan timun hidup subur, dah tak muat dalam peti di ladang,” ceritanya lagi.
Berbeza dengan ramai wanita yang gemar dunia solekan atau fesyen, jiwa pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu lebih dekat dengan tanah dan tanaman.
“Saya memang suka alam tapi tak ada bakat dalam berkebun. Namun, saya masih nak buat bisnes untuk lebih stabil.
“Saya tak minat produk penjagaan kulit atau bisnes yang selalunya perempuan cenderung buat macam baju dan tudung. Saya pernah cuba tengok fabrik tapi terlalu banyak, tak suka. Paling dekat di hati dunia pertanian.
“Sekarang saya sedang mengkaji tanaman mangga dan durian. Mahu kembangkan lagi selain fokus menghasilkan jus,” jelasnya.
Di sebalik kesibukannya menguruskan ladang, Julia bersyukur suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum menjadi tulang belakang yang memahami.
“Suami okey, alhamdulillah. Dia pun sibuk juga dan tak kisah saya pun sibuk sebab banyak benda dia tengah usahakan.
“Kami faham karier satu sama lain dan selalu cari masa untuk bersama. Selepas beberapa bulan sibuk, kami akan pergi bercuti sekejap.
“Tak perlu pergi jauh pun, kadang-kadang ke tempat dekat asalkan dapat luangkan masa bersama,” tutupnya.
Bermula dengan 2 hektar, Julia kini mengusahakan ladang seluas 12 hektar. – FAIZ ALIF














