Bagaikan membawa keindahan ekosistem hutan hujan ke dalam premis atau kediaman, paludarium kini menjadi pilihan sesetengah orang dalam menggarap dekorasi unik yang mendamaikan.

Paludarium pilihan dekorasi, siap berkabus-kabus bak hutan hujan sebenar!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA mengunjungi sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor, mata wanita itu tertarik dengan sebuah paludarium di satu premis menjual tumbuh-tumbuhan.

Ingin mengetahui tentang gubahan ekosistem hutan hujan mini itu yang dilihat menarik, dia kemudian cuba bertanya kepada pekerja kedai, namun jawapan yang diberi tidak memuaskan hati.

Kata wanita itu, Abby Nur Ashikin, bagi mendapatkan informasi lanjut tentang paludarium, dia membuat rujukan secara dalam talian.

“Sejak melihat paludarium itu, saya asyik teringat akan keindahan dan kecantikannya bak hutan sebenar, siap berkabus-kabus. Kebetulan pada masa sama saya inginkan satu elemen alam sekitar sebagai hiasan deko di pusat kecantikan saya.

“Oleh demikian, saya cuba mencari maklumat dalam talian dan dapati terdapat sebuah penyedia perkhidmatan landskap air atau aquascaping yang banyak berkongsi tentang paludarium,” kata Abby, 25, ketika ditemu bual CitaRasa di Abby Beaute Studio, Cyberjaya baru-baru ini.

Tambah pengasas pusat kecantikan itu, apa yang membuatkan dia tertarik dengan paludarium adalah rasa ketenangan yang diberikan seperti berada di dalam hutan hujan yang damai dengan bunyi aliran sungai.

ABBY (kanan) dan suaminya menikmati keindahan paludarium yang diletakkan sebagai elemen dekorasi dan terapi visual di pusat kecantikannya di Cyberjaya. – FAUZI BAHARUDIN

Selepas mendapatkan informasi mencukupi, dia kemudian menghubungi pihak penyedia khidmat itu, Dr. Aquascape untuk memasang paludarium di premisnya.

Paludarium dan hobi alam mini itu semakin mendapat tempat di Malaysia, khususnya dalam kalangan pencinta alam semula jadi yang ingin membawa suasana hutan tropika masuk ke ruang kediaman atau pejabat.

Paludarium, yang menggabungkan elemen daratan dan akuatik dalam satu sistem tertutup ala akuarium, menawarkan pengalaman visual yang menenangkan serta peluang pelajari ekosistem kecil secara dekat.

Jika akuarium cenderung diletakkan ikan serta objek-objek plastik, paludarium pula seolah-olah ‘meniru’ gubahan unsur-unsur alam misalnya pokok-pokok atau tanaman hidup, batuan dan sungai di persekitaran semula jadi, malah turut boleh diserikan ikan atau haiwan kecil lain.

Paludarium biasanya boleh didapati daripada penawar khidmat aquascaping iaitu seni menyusun elemen-elemen semula jadi seperti tumbuhan air atau gardening under water di dalam akuarium bersesuaian.

Di Malaysia, perkembangan hobi ini turut dipacu oleh kemunculan pakar dan pemain industri yang kini menjadi antara rujukan utama komuniti apabila membincangkan seni bina ekosistem air dan daratan berskala kecil itu.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan biodiversiti tropika, Malaysia menjadi lokasi ideal bagi perkembangan paludarium.

Bagi seorang lagi penggemar paludarium, Akmal Aiman Rosli, 28, dia tertarik dengan konsep paludarium selepas melihat alam mini itu yang terdapat di luar negara secara dalam talian.

Menurutnya yang menetap di Hulu Langat, Selangor, sebelum ini dia tidak pernah tahu tentang paludarium tetapi selepas mendapatkan maklumat mengenainya dia terus bercadang untuk memasangnya di rumah.

Bagi peniaga itu, paludarium memiliki tarikan yang unik kerana siapa sangka sebuah ekosistem hutan yang subur dan menghijau boleh dimuatkan dalam sebuah akuarium dan boleh dinikmati setiap hari.

“Selepas pertama kali ketahui tentang paludarium saya cuba mencari penyedia perkhidmatan yang terdapat di Malaysia untuk memasangnya di rumah.

“Paludarium menjadi hobi saya selepas siap dipasang di rumah dan pada masa sama, selain mengupah Dr. Aquascape untuk penyelenggaraan, saya turut melakukannya sendiri bersama anak-anak,” ujarnya yang menghabiskan lebih RM10,000 untuk paludarium.

Akuinya lagi, selepas memasang paludarium bersaiz 150 sentimeter (sm) panjang, 50sm (lebar) dan 90sm (tinggi) tersebut di rumah, dunia mini itu telah menambahkan seri di kediamannya dan menjadi tarikan tetamu yang berkunjung.

Malah, ada ketikanya dia akan duduk di hadapan paludarium berkonsep hutan hujan itu sebagai terapi diri dan melepaskan lelah selepas penat bekerja.

Sementara itu, berkongsi lebih lanjut mengenai paludarium, pengasas Dr. Aquascape, Afif Fitri Aziz memberitahu suasana lembap, pelbagai spesies tumbuhan dan minat tinggi terhadap reptilia serta ikan hiasan menjadikan hobi ini lebih mudah diterjemahkan dalam konteks tempatan.

“Paludarium bukan sekadar hiasan tetapi adalah gabungan antara seni, sains dan penjagaan kehidupan.

“Ia menghimpunkan tanaman hidup, air mengalir, batuan semula jadi, serta kadang-kadang haiwan kecil seperti katak dart, udang air tawar atau ikan nano bagi membentuk sebuah habitat harmoni,” kongsinya.

Terdapat pelbagai rekaan dan saiz paludarium di pasaran.

Memain peranan dalam perkembangan ini, Afif Fitri berkongsi, Dr. Aquascape bermula sebagai jenama yang memfokuskan kepada aquascaping tradisional dan kini melangkah jauh dengan mengetengahkan kepakaran dalam rekaan paludarium moden.

Melalui platform media sosial, bengkel dan konsultansi profesional, pihaknya berjaya mendidik masyarakat tentang kepentingan ‘meniru’ ekosistem semula jadi secara bertanggungjawab.

Mereka turut menggalak penggunaan tumbuhan tempatan seperti paku-pakis hutan, moss sungai, serta beberapa spesies bucephalandra yang berasal dari Borneo sekali gus mempromosikan keunikan flora Malaysia.

Katanya, paludarium moden di Malaysia kini hadir dalam pelbagai skala, daripada setup kecil bersaiz 30sm sehingga struktur gergasi setinggi 2 meter yang menghiasi ruang legar hotel, kafe konsep dan pusat beli-belah.

“Permintaan terhadap paludarium buatan profesional semakin meningkat kerana bukan sahaja cantik secara estetik, tetapi turut berfungsi sebagai elemen terapi visual.

“Kami sering menekankan pentingnya pemahaman biologi asas seperti kitaran nitrogen, pencahayaan optimum serta sistem pengabusan (misting) untuk tumbuhan darat dan hasilnya, lebih ramai pemilik paludarium kini mampu mengekalkan ekosistem yang stabil tanpa terlalu bergantung kepada penyelenggaraan intensif,” ujarnya.

Selain memperkenalkan aspek teknikal, Dr Aquascape turut mencorakkan budaya reka bentuk paludarium di Malaysia.

Mereka dikatakan mempopularkan gaya ‘tropical rainforest wall’ yang menampilkan dinding tegak dipenuhi akar kayu, lumut dan percikan air kecil dari mini waterfall.

Katanya, gaya ini mencerminkan landskap sebenar hutan Malaysia yang kaya dengan tekstur lembap serta lapisan tumbuh-tumbuhan.

Di samping itu, terdapat juga aliran reka bentuk yang lebih minimalis seperti ‘nature box paludarium’ yang menekankan keseimbangan visual antara air jernih, batu berlumut dan satu atau dua tumbuhan dominan.

“Hobi paludarium turut membuka peluang kepada industri sokongan seperti pembekalan peralatan khas termasuk lampu LED spektrum penuh, sistem kabus automatik, pam air bertekanan rendah, media biofilter, tanah nutrisi serta kayu dan batu hiasan berkualiti tinggi.

“Malaysia kini mempunyai beberapa pembekal dan pereka paludarium berpengalaman, namun kami juga menyediakan penyelesaian turnkey untuk pengguna yang mahukan hasil profesional,” jelasnya yang menjalankan perniagaan di Bangi, Selangor.

Tambahnya, kepakaran mereka merangkumi rekaan tiga dimensi, pembinaan struktur dalaman, pemasangan sistem air, pembangunan aplikasi bagi mengawal dan memantau paludarium hinggalah pemilihan flora dan fauna yang sesuai.

Bagi peminat baharu, Afif Fitri memberitahu mereka digalakkan untuk mengambil konsep pendekatan bertahap. Tidak perlu bermula dengan setup besar; konsep paludarium mini 20 hingga 40 liter sudah cukup untuk memahami keperluan asas ekosistem.

“Komuniti paludarium Malaysia semakin berkembang dengan ramai pengamal hobi berkongsi perkembangan di Facebook, Instagram dan YouTube.

“Dengan bimbingan yang betul juga, banyak pusat pembelajaran, sekolah, dan kafe tematik kini memasang paludarium sebagai daya tarikan serta alat demonstrasi,” katanya.

Paludarium kini menjadi medium yang menghubungkan manusia dengan alam, membawa ketenangan tropika ke ruang moden dan menghidupkan kembali rasa penghargaan terhadap ekosistem kecil yang sering kita abaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN