fbpx
Nor Azlan dan Nariza Ali di samping Zulhairi Zakarin di PPS SK Seri Perdana di Alor Setar, hari ini.

‘Tahun lepas lima kali banjir, reda sahajalah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Setiap tahun memang kena duduk PPS (pusat pemindahan sementara), tahun lepas lima kali tahun ini baru sekali. Apa nak buat reda saja.”

Itu luah Nor Azlan Mohd. Noor, 60, dari Pantai Johor di sini, seorang orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa mengusung isterinya, Nariza Ali, 63, yang juga berkerusi roda meredah banjir untuk berteduh di PPS.

Nor Azlan yang kudung kaki kanan akibat kencing manis itu memberitahu, rumah mereka dinaiki air paras betis pada pukul 3 pagi semalam menyebabkan mereka bersama anak lelaki, Zulhairi Zakirin, 19, terpaksa berpindah.

“Bila air naik dengan mendadak kami buat keputusan untuk cepat berpindah kerana memang tahu rumah akan tenggelam seperti tahun-tahun sebelum ini. Terpaksa usung isteri yang tidak boleh berjalan naik kereta, nasib baik ada anak.

“Kawasan Pantai Johor ini setiap tahun mesti banjir kalau Sungai Anak Bukit itu melimpah jadi memang bah rumah kami. Teruk atau tidak teruk saja tetapi kali ini air naik mendadak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Perdana di sini hari ini.

Tambahnya, semua barangan di rumah mereka termasuk alat elektrik dan perabot mengalami kerosakan dalam banjir sebelum ini menyebabkan rumah mereka kosong kerana tidak mampu membeli yang baharu.

“Memang rumah kosong sebab kalau beli baharu pun nanti rosak lagi jadi biarlah begitu sahaja tak perlu ada perabot rumah atau apa hiasan lain,” katanya yang memakai kaki palsu sejak 2020.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Nazliah Mohd. Zain, 84, yang juga kudung kaki kiri akibat sakit kanser tulang berkata, mereka sekeluarga juga berpindah bagi mengelak sebarang kesulitan terutama ketika paras air sungai naik mendadak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN