PETALING JAYA – “Hebatnya, model ini (Proton) masih kekal relevan dan terus dicintai rakyat Malaysia,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, Proton mencipta sejarah baharu dengan pelancaran Proton Saga baharu iaitu kereta pertama yang dicipta menggunakan platform Advanced Modular Architecture (AMA)
Tambah beliau, Hak Harta Intelek (IPR) pula dimiliki sepenuhnya oleh Proton sekaligus menjadi kunci utama dan tiket untuk Proton menjadi pemain global serta memacu usaha eksport negara.
“Kami di MITI akan terus menyokong Proton dalam memacu transformasi negara ke arah industri berteknologi tinggi, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030)
“Moga perkongsian strategik dengan Geely ini kekal teguh untuk tahun-tahun mendatang Proton Saga. Kebanggaan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Proton semalam melancarkan model Saga serba baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM37,990 (atas jalan tanpa insurans) untuk Semenanjung, termasuk rebat pelancaran RM1,000 yang sah sehingga 31 Disember ini.
Tanpa rebat tersebut yang tersedia buat semua varian, harga jualan Saga baharu ialah RM38,990 bagi varian paling rendah iaitu Standard, RM44,990 untuk Executive dan RM49.990 bagi varian tertinggi, Premium.
Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, beliau masih di sekolah rendah semasa Proton Saga pertama keluar dari kilang pada tahun 1985.
Menurut beliau, ia adalah permulaan kepada impian negara untuk menjadi sebuah negara perindustrian. – KOSMO! ONLINE















