fbpx
SHEREEN bakal turun ke Bangkok dengan status sebagai pemenang pingat gangsa 400m Sukan Asia Hangzhou 2022.

Kecederaan tak jejas prospek pingat emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil enggan menekan butang panik susulan kecederaan dialami dua atletnya, sebaliknya optimis mereka sempat pulih sepenuhnya menjelang Sukan SEA Thailand 2025 bulan depan.

Manshahar mengesahkan Shereen Samson Vallabouy dan Nor Sarah Adi kini menjalani proses rehabilitasi, namun menyifatkan kecederaan dialami mereka berada pada tahap terkawal.

Jelasnya, Shereen dalam fasa pemulihan kecederaan hamstring, manakala Sarah mengalami masalah terseliuh pada bahagian buku lali ketika menjalani latihan.

“Kita mempunyai dua atlet yang sedang menjalani pemulihan, namun keadaan mereka tidaklah terlalu berat atau serius.

“Saya yakin dan percaya berdasarkan laporan doktor bahawa mereka akan pulih seperti sedia kala untuk bersaing di Sukan SEA nanti. Perkembangan mereka semakin baik,” katanya.

Mengulas mengenai prospek acara tumpuan 100 meter (m) lelaki, Manshahar mengakui ketiadaan jaguh sensasi, Muhammad Azeem Fahmi menuntut pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Jonathan Nyepa memikul tanggungjawab besar.

Beliau menjangkakan saingan sengit bakal hadir daripada pemegang rekod Sukan SEA dari Thailand, Puripol Boonson dan jaguh pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

“Berdasarkan ranking semasa 2025 tanpa Azeem, Danish berada dalam kedudukan pingat gangsa, manakala Jonathan di tempat keempat atau kelima.

“Danish baru berusia 20 tahun dan ini adalah penampilan pertamanya. Apa sahaja boleh berlaku pada hari kejadian dan tidak mustahil dia mampu melakar kejutan,” katanya.

Manshahar juga memberitahu fokus utama Zaidatul Husniah Zulkifli lebih terarah kepada memburu pingat 4x100m berbanding acara individu kerana ranking semasa meletakkannya di tangga keenam Asia Tenggara yang kini didominasi ratu pecut Singapura, Shanti Pereira.

Skuad olahraga negara ke Bangkok kali ini membariskan 48 atlet yang terdiri daripada 29 lelaki dan 19 wanita, merangkumi gabungan senior berpengalaman seperti Irfan Shamsuddin, Jackie Wong dan Andre Anura Anuar serta muka-muka baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI