JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu di Kota Tinggi rupa-rupanya telah meninggal dunia dipercayai dibunuh oleh suaminya.
Kejadian yang menimpa mangsa terbongkar selepas polis menahan suami wanita itu yang berusia dalam lingkungan 40-an sehari selepas kehilangannya dilaporkan.
Mangsa dipercayai dibunuh kejam dengan mayatnya dibalut dan disumbat ke dalam tong berwarna biru.
Tong tersebut kemudian ditanam di dalam sebuah ladang kelapa sawit di daerah sama bagi melupuskan bukti.
Menurut satu sumber, hasil soal siasat ke atas lelaki yang bekerja sebagai pemandu jengkaut itu membawa kepada penemuan mayat isterinya di ladang tersebut semalam.
“Siasatan di lokasi (ladang) itu mendapati keadaan mayat mangsa sudah kembung.
“Mangsa dipercayai dibunuh pada hari yang sama kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut sumber itu, suspek dipercayai bertindak demikian kerana cemburu, namun siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menerima laporan mengenai kehilangan seorang wanita, namun menafikan berlaku kes melepaskan tembakan di Kota Tinggi.
Mengikut maklumat, mangsa dilihat keluar dari rumahnya di Taman Sri Saujana.
Susulan laporan itu, polis memberkas suami wanita tersebut dan merampas dua laras senjata dan sejumlah peluru kerana tiada lesen yang sah.
Sebelum ini, lelaki itu disiasat kerana memiliki senjata api tanpa lesen di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.














