AMPANG – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak menyita tujuh motosikal atas kesalahan halangan awam di tiga kawasan selepas struktur dan barangan diletakkan tanpa kebenaran sehingga menjejaskan kelancaran pergerakan pengguna.
Dalam operasi yang digerakkan Jabatan Penguatkuasaan MPAJ di Taman Dagang, Lembah Maju dan Ampang Avenue hari ini, tindakan itu dilakukan bagi memastikan laluan awam kekal selamat dan boleh diakses oleh semua.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, sitaan di Taman Dagang melibatkan halangan pada siarkaki yang mengganggu laluan pejalan kaki, manakala di Lembah Maju halangan dikesan pada petak khas orang kurang upaya (OKU) sehingga menyulitkan pengguna kelainan upaya mendapatkan akses.
“Bagi kawasan Ampang Avenue pula, struktur dan barangan yang diletakkan tanpa kebenaran turut menutup laluan siarkaki sehingga menimbulkan risiko keselamatan.
“Tindakan ini dilaksanakan bagi memastikan laluan awam sentiasa selamat, teratur dan bebas daripada halangan, selaras dengan komitmen MPAJ dalam menyediakan persekitaran yang mesra pengguna dan mudah diakses oleh semua,” kata kenyataan itu hari ini. – KOSMO! ONLINE















