MELAKA – Taktik licik seorang pemilik kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire menggunakan nombor pendaftaran kereta Perodua Kancil bagi mengelak memperbaharui insurans dan cukai jalan tidak menjadi apabila ditahan anggota penguat kuasa semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, anggota penguat kuasa mengekori kenderaan pelbagai guna (MPV) itu selepas mendapati nombor pendaftarannya mencurigakan sebelum menahan pada pukul 4 petang di Jalan Tun Mutahir di sini.
“Semakan mendapati nombor plat tersebut sebenarnya didaftarkan pada sebuah kereta Perodua Kancil, bukannya Vellfire yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun tersebut. Pemeriksaan turut mendapati kenderaan itu insurans dan cukai jalan telah tamat tempoh,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, susulan itu, tindakan sitaan dilakukan dan tiga saman dikeluarkan terhadap pemandu serta pemilik kenderaan.
“Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan ini telah tamat tempoh pada Januari 2025 dan sejak itu, mereka menggunakan nombor plat kereta Perodua Kancil.
“Cukai jalan kenderaan itu dianggarkan RM1,000, insurans pula kita tidak pasti. Toyota Vellfire itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat swasta yang sudah tidak beroperasi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















