DI tengah-tengah seni Eropah yang sarat sejarah, gema budaya Malaysia bergema megah.
Kontinjen Cemara Seni Malaysia di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor baru-baru ini muncul sebagai duta kecil negara yang berjaya mencuri perhatian dua festival kebudayaan paling berprestij di benua itu, sekali gus mengangkat martabat seni warisan tanah air ke persada antarabangsa.
Menerusi penyertaan di 46th International Competition and Folklore, Dance and Music Festival ‘Prague Stars’ 2025 di Prague, Republik Czech serta VIII International Folklore Festival ‘Ethno Fest Budapest’ di Hungary, pasukan itu mencetuskan rasa kagum apabila merangkul banyak anugerah.
Di Festival ‘Prague Stars’ 2025, kumpulan berkenaan meraih kejayaan yang membanggakan apabila dilapor membawa pulang dua Anugerah Crystal Grand Prix, tujuh kategori tempat pertama serta dua kategori tempat kedua.
Kesungguhan, warna-warni dan identiti yang dibawa 56 pelajar serta guru dari JPN Selangor, JPN Pahang dan JPN Kelantan itu membentuk satu naratif baharu tentang Malaysia iaitu sebuah negara kecil tetapi kaya nilai seni yang mampu bersaing di pentas global.
Mereka menampilkan persembahan yang mempamer keindahan seni warisan negara antaranya gamelan kreatif, dikir fusion, wayang kulit dan zapin fusion.
Berkongsi rasa teruja atas kemenangan pasukan, salah seorang peserta yang menganggotai pasukan gabungan tarian dan muzik yang meraih Crystal Grand Prix, Muhammad Aftab Bhim Prasad, 12, berkata, peluang mewakili negara di pentas antarabangsa adalah antara impiannya.
“Saya dan semua rakan lain berasa sangat bangga kerana telah mengharumkan nama Malaysia bagi festival ini.
“Buat saya secara peribadinya, sebelum ini saya pernah menjadi juara Kejohanan Taekwondo Heroes Asia Cup, jadi apabila kali ini saya bersama rakan-rakan lain dapat menjadi juara pertandingan tarian pula, rasa sangat gembira kerana selain taekwondo, ini juga adalah satu bidang yang saya minati.
“Kenangan ini adalah suatu pengalaman manis zaman persekolahan saya,” katanya yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Utara, Klang.
Peluang bersaing di pentas antarabangsa juga, ujar Muhammad Aftab, membolehkan dia berkenalan dengan pasukan dari negara lain yang tidak kurang hebatnya. Antara negara yang bertanding ialah Indonesia, Ukraine, Poland, Bulgaria dan banyak lagi.
“Seronok rasanya dapat berinteraksi dengan peserta negara lain.
“Walaupun agak terbatas dari segi bahasa, namun minat yang sama dalam bidang kesenian membolehkan kami berinteraksi, bergambar bersama dan saling mengagumi kesenian negara masing-masing,” katanya.

Pasukan Malaysia dianggotai gabungan sekolah-sekolah serta institusi. Muhammad Aftab yang menyertainya bersama beberapa rakan sekolahnya turut diiringi guru sekolahnya, Mohd. Ayob Selamat.
Ibu Muhammad Aftab, Nur Laela Hanan, 35, berkata, dia mula sedar anaknya itu menunjukkan minat dalam bidang tarian kira-kira dua tahun lalu.
“Sebagai ibu bapa, saya dan suami memberi sokongan penuh kepada anak untuk menyertai kontinjen Cemara Seni Malaysia ke peringkat antrabangsa kerana peluang begini tidak datang selalu.
“Sejujurnya, saya terkejut, namun dalam masa sama teruja apabila Muhammad Aftab terpilih ke pertandingan kesenian dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Kongsi Nur Laela, anaknya dan pasukan itu telah memberikan komitmen latihan selama lapan bulan demi aksi terbaik.
Biarpun menyokong penuh minat anaknya dalam bidang tarian, dia bagaimanapun sentiasa mengingatkan Muhammad Aftab untuk sentiasa ‘mengejar’ semula pelajaran jika tercicir daripada rakan-rakan sekelas yang lain.
“Harapan saya supaya anak akan tetap cemerlang dalam bidang seni dan budaya, namun saya tetap tekankan kepentingan akademik dan agama, kerana ilmu tersebut sangat penting sebagai panduan hidup kelak,” katanya.
Bagi Guru Penyelaras kontinjen Cemara Seni Malaysia, Mohd. Zulhafiz Mohd. Zubir, kejayaan program ini tidak hanya dinilai melalui anugerah yang dimenangi, tetapi lebih kepada perkembangan pelajar sepanjang proses tersebut. Pendedahan budaya, interaksi sosial dan pembinaan profesionalisme menjadi aspek penting dalam penilaian.
“Peserta menunjukkan peningkatan jelas dari segi keyakinan diri, kematangan berfikir dan kemampuan berkomunikasi dengan rakan antarabangsa.
“Mereka juga memperoleh pengalaman berharga dalam mengurus masa, mengawal emosi dan berdisiplin tinggi. Penghayatan terhadap seni tradisional turut meningkat apabila mereka membawa persembahan tersebut ke pentas dunia.
“Maklum balas positif daripada juri, delegasi luar negara dan penonton menjadi bukti tambahan bahawa usaha mereka diiktiraf secara profesional,” jelasnya.
Mohd. Zulhafiz memaklumkan bahawa penyertaan pelajar dalam pertandingan peringkat antarabangsa tentunya memerlukan perancangan teliti.
“Apa yang boleh saya kongsikan, antara cabaran utama ialah aspek logistik yang merangkumi penyelarasan tiket penerbangan, penginapan, jadual perjalanan dan waktu pertandingan.
“Pemilihan murid juga menjadi keutamaan, terutama dari segi kesediaan mental dan fizikal, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali ke luar negara dan perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Sokongan ibu bapa turut menjadi faktor penting kerana komitmen mereka membantu melancarkan persiapan.
“Kos keseluruhan program juga tinggi, melibatkan penyediaan kostum, alat muzik, latihan tambahan serta yuran penyertaan.
“Selain itu, disebabkan murid datang dari negeri, sekolah dan institusi yang berbeza, aspek disiplin dan keselamatan perlu dipantau secara berterusan. Dalam masa sama, guru dan jurulatih perlu mengekalkan kualiti persembahan walaupun masa latihan sangat terhad, terutama apabila kebanyakan sesi dijalankan pada hujung minggu,” katanya.
Namun jelas Mohd. Zulhafiz, impak program itu kepada pelajar adalah sangat besar dan mendalam, kerana melaluinya, pelajar berpeluang menghargai warisan seni Malaysia sambil memahami budaya masyarakat lain melalui interaksi langsung.
“Pendedahan kepada suasana global menjadikan mereka lebih matang, terbuka dan bersemangat untuk membawa nama negara dengan penuh bangga,” ujarnya.














