fbpx
Adnan beramah mesra dengan penjawat awam yang hadir pada Perhimpunan "Luah Rasa, Pujuk Jiwa PT Terasa" Gred N1 ke Gred N5 CUEPACS Negeri Sembilan di Seremban hari ini. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/KOSMO!

Kerajaan dah bagi naik gaji, jangan buat onar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Penjawat awam yang telah menerima kenaikan gaji diingatkan supaya tidak terlibat dengan perlakuan tidak senonoh atau sebarang perbuatan yang menjejaskan imej perkhidmatan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam sudah pun tertakluk kepada tatakelakuan dan Perintah-Perintah Am yang menjadi panduan jelas mengenai disiplin serta tindakan yang boleh diambil terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada sebab untuk penjawat awam membuat onar atau terlibat dalam salah laku, memandangkan kerajaan telah menunaikan tanggungjawab menyediakan ganjaran dan kesejahteraan yang baik melalui peningkatan gaji.

“Kita telah diberikan balasan terbaik oleh kerajaan. Maka tidak ada sebab untuk melakukan perkara yang menyalahi etika, memalukan jabatan atau meresahkan masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Perhimpunan “Luah Rasa, Pujuk Jiwa PT Terasa” Gred N1 ke Gred N5 CUEPACS Negeri Sembilan di Seremban di sini, hari ini.

Beliau berkata, CUEPACS mahu penjawat awam terus berpegang pada integriti, kekal produktif dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara, sekali gus memperkukuhkan keyakinan terhadap kerajaan.

Sementara itu, katanya, satu pasukan kerja bersama akan diwujudkan antara CUEPACS dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam merangka dan memuktamadkan secara bersama cadangan penambahbaikan kumpulan pembantu tadbir.

“Walaupun kami minta gred N5, mungkin pada pandangan kerajaan gred lain, jadi kami sedia bincang yang akhirnya proses semua ini tetap naik gred,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN