fbpx
SEEKOR buaya tembaga muncul di tepi Jalan Perigi Hang Tuah dekat Duyong sebelum berjaya dihalau semula ke sungai oleh pasukan bomba.

Penduduk Duyong dinasihati berhati-hati, buaya muncul di tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengingatkan penduduk di kawasan itu supaya sentiasa berhati-hati selepas seekor buaya tembaga dilaporkan muncul di tepi Jalan Perigi Hang Tuah, berhampiran sungai, semalam.

Dalam hantaran di Facebook, beliau memaklumkan haiwan pemangsa itu dipercayai sesat dan telah berjaya dihalau semula ke sungai oleh pasukan bomba.

Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka juga telah dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.

“Berhati-hati bagi yang melalui kawasan ini. Tindakan susulan sedang diatur,” tulisnya.

Beliau ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai habitat atau panjang haiwan tersebut, namun penduduk sekitar memaklumkan ia kerap dijumpai sejak kebelakangan ini.

“Buaya ini sudah kerap dijumpai penduduk, kita sedang tunggu keputusan daripada Perhilitan untuk tindakan seterusnya,” katanya ringkas.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.39 malam berhubung penemuan seekor buaya.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dikejarkan ke lokasi bersama-sama dua buah jentera.

“Setibanya di situ, mereka mendapati buaya berada di tepi jalan berhampiran sungai dan mengancam keselamatan orang awam.

“Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Naim Abu Kasim, memaklumkan buaya itu berjaya dihalau semula ke sungai berdekatan tanpa sebarang kecederaan kepada orang awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI