NEWCASTLE – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe berharap kemenangan 2-1 yang diraih pasukannya ketika menewaskan Manchester City di St. James Park awal pagi semalam akan menjadi ‘batu loncatan’.
Dua gol menerusi Harvey Barnes dalam tempoh enam minit pada babak kedua menyaksikan Newcastle menamatkan rekod dua kekalahan berturut-turut sebelum ini sekali gus menjadi isyarat kebangkitan semula The Magpies.
“Kami cuba untuk membina momentum, keyakinan dan kembali kepada prestasi yang mampu membawa pasukan ini pergi lebih jauh. Semua itu hanya boleh direalisasikan apabila kami memenangi perlawanan.
“Kemenangan ke atas pasukan hebat seperti City ini diharap menjadi ‘batu loncatan’ untuk kami terus mengekalkan prestasi terbaik pada baki saingan musim ini.
“Kekalahan kepada West Ham United dan Brentford sebelum ini adalah perkara yang kami mahu lupakan dan ia merupakan pengalaman buruk. Namun, kami cuba mencari perkara positif dan kemenangan ini adalah yang kami inginkan,” kata Howe.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat Howe apabila ia merupakan kemenangan pertama diraihnya selaku pengurus dalam 19 kali pertemuan menentang City dan ke-17 menentang Pep Guardiola.
“Ia bukan mengenai saya, tetapi Newcastle. Secara individu saya tidak mencari kegembiraan itu, namun kelab ini memerlukan lebih banyak kemenangan seperti itu,” jelasnya. – AGENSI














