BUKIT KAYU HITAM – Rombongan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Sentosa 3, Taman Kemboja 4B di Bukit Beruntung, Selangor terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti di Hatyai ekoran kejadian banjir besar sejak kelmarin.
Ahli Jawatankuasa KRT tersebut, Zaidi Din berkata, kira-kira 40 peserta rombongan masuk ke Thailand dengan sebuah bas pada pagi semalam.
“Bila sampai Danok, kami dapat tahu dah tak boleh masuk ke Hatyai, bas masuk juga sehingga kira-kira 20 kilometer (km) lagi nak sampai Hatyai tetapi bomba sana sekat.
“Jadi kita berpatah balik dan alhamdulillah, kami bernasib baik dapat menginap hotel di Danok,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Katanya, mereka tidak kecewa tidak dapat bercuti di Hatyai walaupun sudah empat bulan membuat perancangan kerana lebih memikirkan keselamatan peserta rombongan.
“Daripada kita tersangkut di Hatyai lebih baik kita ‘tersangkut’ di Danok, boleh balik. Lagipun, saya dimaklumkan hotel yang kami tempah banjir paras pinggang.
“Kalau pergi sana mungkin kami juga terkandas, tiada bekalan makanan selain semua kedai dikatakan tutup,” ujarnya.
Tambahnya, mereka tidak mengalami kerugian kerana menempah hotel tanpa membuat pembayaran awal.
“Peserta rombongan bercuti di Danok, mereka nampak gembira dapat makan dan beli makanan di situ. Lepas ini kita akan rancang semula untuk datang ke Hatyai,” katanya. – KOSMO! ONLINE















