BUKIT KAYU HITAM – Kira-kira 30,000 pelancong Malaysia direkodkan bercuti di Hatyai, Thailand sepanjang cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina ketika ini berbanding lebih kurang 50,000 orang pada tahun lalu.
Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Dr. Sitthipong Sitthiphataraprabha berkata, jumlah itu bagaimanapun masih rendah berbanding tahun lalu berikutan impak banjir besar yang melanda pada November tahun lepas.
“Kadar tempahan hotel sepanjang cuti ini adalah kurang 50 peratus. Purata tempoh penginapan pelancong Malaysia adalah antara satu hingga dua malam sahaja, menjadikan Hatyai sebagai destinasi percutian singkat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, sektor pelancongan di Hatyai memerlukan masa untuk kembali rancak seperti sebelum ini.
“Tahap pemulihan sektor perhotelan hampir 100 peratus, manakala perniagaan kecil dan sederhana sekitar 40 peratus.
“Cabaran terbesar kita adalah untuk menghidupkan semula dan memulihkan bandar ini,” ujarnya.
Jelasnya, Hatyai juga masih bergantung kepada pelancong Malaysia yang disifatkan sebagai kumpulan pelawat majoriti ke wilayah Songkhla.
“Bagi tahun ini, sasaran ditetapkan untuk menarik seramai 2.5 juta pelancong Malaysia dengan pelbagai strategi dirancang termasuk mempromosikan aktiviti dan destinasi baharu di sekitar Songkhla,” katanya.
Tambahnya, pemulihan penuh akan mengambil sedikit masa, namun pihaknya yakin momentum kedatangan pelancong Malaysia akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.
Mengikut rekod carian seramai 50,000 pelancong Malaysia telah ke Hatyai pada cuti Tahun Baharu Cina pada Januari 2025 lalu.















