KOTA BHARU – Individu dipercayai mempunyai dua kerakyatan dikenal pasti menggunakan alasan menghantar anak-anak bersekolah di kawasan sempadan di negara ini dengan kereta untuk menyeludup petrol ke wilayah selatan Thailand.
Kereta yang dipandu penyeludup itu juga menggunakan jalan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk masuk dan keluar dari negara ini sebanyak lebih dua hingga tiga kali sehari.
Selain itu, penyeludup juga menggunakan kuota 300 liter pengisian RON95 menerusi Budi Madani RON95 (Budi95) untuk menjual petrol kepada sindiket minyak di wilayah tersebut.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, siasatan pihaknya mendapati penyeludup yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan dan menetap di Sungai Golok, Thailand akan masuk ke negara ini pada waktu pagi untuk menghantar anak-anak mereka di beberapa sekolah di sempadan.
Menurutnya, selepas menghantar anak, mereka dikatakan mengisi penuh petrol di dalam tangki kereta dengan nombor pendaftaran tempatan.
“Mereka kemudian akan terus pulang ke selatan Thailand dengan tangki kereta yang penuh. Pada waktu tengah hari, kereta yang sama juga dikenal pasti memasuki semula ICQS dan pemandunya memberi alasan untuk menghantar bekal anak-anak di sekolah sebelum pulang ke Thailand.
“Pada waktu petang, kereta tersebut sekali lagi masuk ke negara ini untuk mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah.
“Secara logiknya, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak mempunyai sebab untuk menahan kereta tersebut kerana pemandunya mempunyai pas sempadan selain kereta dipandu juga lengkap dengan cukai jalan dan perlindungan insurans,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pejabat KPDN Kelantan di sini baru-baru ini.
Azman memberitahu, berdasarkan maklumat diterima daripada agensi lain yang bertugas di sempadan, penyeludup menggunakan modus operandi dan alasan menghantar anak-anak ke sekolah berikutan penguatkuasaan ketat selain larangan pelajar merentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang sejak 1 Disember tahun lalu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kebiasaannya, penyeludup yang menggunakan laluan ICQS memandu kereta jenis Proton Waja kerana kereta tersebut memiliki saiz tangki besar sehingga mampu memuatkan sehingga 60 liter atau lebih RM119.
Menurutnya, pelaksanaan Budi95 sejak lebih sebulan lalu juga memberi peluang kepada penyeludup meraih keuntungan sebanyak RM100 bagi setiap kali perjalanan apabila mereka menjual lebih RM200 untuk setangki petrol kepada sindiket di Thailand.
“Proton Waja digunakan penyeludup kerana harga kereta terpakai bagi jenis itu murah di pasaran.
“Kebanyakan daripada penyeludup dipercayai berkahwin dengan warga Thailand dan menetap di negara tersebut.
“Keadaan itu memudahkan pergerakan mereka untuk berulang-alik masuk ke negara ini untuk menyeludup petrol.
“Siasatan lanjut turut mendapati, penyeludup mengubah bacaan meter minyak kereta berada di tengah-tengah bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan dikesan pihak berkuasa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














