fbpx
HAD berat maksimum untuk melakukan aktiviti paramotor ialah 100 kilogram untuk seorang penumpang.

Rasa naik ‘kereta terbang’ dengan paramotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT paramotor perlahan-lahan terangkat ke udara, angin sepoi-sepoi menyapa wajah sementara pemandangan di bawah mula mengecil.

Dalam beberapa saat sahaja, penulis terasa seolah-olah menaiki kereta terbang setinggi 500 kaki sambil menikmati panorama Pulau Carey, Selangor dari sudut yang berbeza.

Hamparan ladang kelapa sawit milik Sime Darby terbentang luas, membentuk corak hijau teratur sejauh mata memandang.

Dari udara, aliran Sungai Langat yang memisahkan pulau tersebut dari tanah besar jelas kelihatan, beralun tenang mengikut liku semula jadinya.

Tidak jauh dari situ, padang golf 18 lubang Amverton Cove terserlah dengan fairway rapi, tasik kecil dan kawasan bakau yang mengelilingi beberapa lubang permainan.

Lebih jauh di horizon, pesisir laut Pulau Carey tampak sebagai jalur biru memanjang, sunyi dan tenang. 

Sesekali kelihatan bot kecil bergerak perlahan, namun selebihnya hanya permukaan air yang luas dan tenang.

PENGALAMAN penulis menaiki Paramotor memberi rasa seakan-akan menaiki kereta terbang.

Pengalaman selama kira-kira lima hingga enam minit di udara itu merupakan penerbangan tandem paramotor yang dikendalikan oleh Paramotor Park di Pulau Carey.

Paramotor ialah sukan udara yang menggunakan payung terjun bermotor, dengan enjin kipas di belakang juruterbang memberikan daya tujahan untuk terbang rendah sambil menikmati pemandangan dari udara.

Pengasas Paramotor Park, Muhammad Alias Ikhsan berkata, pusat itu merupakan yang pertama dan satu-satunya di Malaysia yang memenuhi ciri sebuah ‘park lengkap’.

“Paramotor Park menyediakan kemudahan lengkap untuk aktiviti rekreasi dan latihan paramotor. Pusat ini juga masih baharu dan mula beroperasi sejak November ini,” katanya kepada CitaRasa.

Paramotor Park menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu latihan asas belajar terbang, perkhidmatan tandem flight dan latihan khas untuk atlet.

MUHAMMAD ALIAS (kiri) memasang topi keledar kepada salah seorang penumpang.

Selain itu, pusat tersebut turut menyediakan perkhidmatan tambahan seperti membaiki enjin, menghasilkan enjin khusus mengikut keperluan serta servis teknikal oleh pakar.

Bagi kategori tandem, had berat maksimum ialah 100 kilogram untuk seorang penumpang, dengan kapasiti terhad kepada dua orang iaitu juruterbang dan seorang penumpang.

Harga untuk seorang penumpang ialah RM300, tanpa syarat jumlah minimum peserta bagi setiap tempahan.

Kanak-kanak bawah enam tahun tidak digalakkan menaiki paramotor kerana mereka sukar dikawal dan faktor keselamatan tidak dapat dijamin sepenuhnya. Bagi mengikuti kursus atau belajar menerbangkan paramotor, had umur minimum ialah 16 tahun. 

Latihan asas terbahagi kepada tiga fasa bermula daripada peringkat asas sehingga pelatih mampu terbang solo dengan bimbingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN